Selasa, 29 April 2014

Apa itu KOLOSTRUM?

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Saya sering mendengar rungutan ibu-ibu disekeliling bahawa susu tidak ada selepas bayi dilahirkan. Ada yang mengatakan susu sikit, susu tidak cukup, susu tidak keluar, bayi menangis dan bermacam-macam lagi. Kali ini saya mahu mengupas mengenai susu awal yang dinamakan KOLOSTRUM. Ramai ibu-ibu berpendapat selepas melahirkan susu akan memancut-mancut keluar. Tanggapan itu salah sama sekali. Susu akan keluar seiring dengan perkembangan bayi. Tidak perlu memberi air masak atau susu formula. Cukup dengan susu ibu sahaja.

Kolostrum mula terhasil seawal 16minggu kehamilan dan telah tersedia sesudah bayi dilahirkan. Jadi, tanggapan bahawa susu tiada adalah salah sama sekali. Ianya merupakan ceair yang kelihat pekat dan kekuningan serta berterusan hingga beberapa hari selepas bersalin. Kolostrum dianggap penting kerana merupakan imunisasi awal bagi perlindungan bakteria dan virus. Malah membantu dalam mengekalkan bakteria baik dalam usus bayi.

Kolostrum bertindak sebagai 'cat paint' yang menyaluti usus bayi sebagai pertahanan. Jika air atau sebarang makanan tiruan diberikan, 'cat' ini akan tertanggal dan boleh membenarkan jangkitan menembusi sistem badan bayi. Jadi, air masak tidak perlu diberikan kepada bayi dengan alasan membasahkan tekak. Hana susu ibu sahaja. Percayalah, susu kita adalah yang terbaik untuk bayi kita.

Makanan pertama bayi yang terbaik ini mengandungi protein dan Vitamin A yang lebih tinggi berbanding susu matang. Susu matang akan datang 2-3 minggu selepas bersalin. Ini kerana kandungan susu matang sudah berubah mengikut keperluan bayi. Jadi, hargailah anugerah Allah ini dengan sebaiknya. Susuilah bayi sekerap dan semahu bayi selepas kelahiran. Kolostrum juga bertindak sebagai julap untuk membantu penyingkiran mekonium (melalui najis hitam yang dikeluarkan bayi) untuk mengelakkan masalah jaundis.

Walaupun jumlah kolostrum amat sedikit, ianya bersesuain dengan saiz perut bayi dan kematangan buah pinggang bayi yang tidak boleh mengawal jumlah cecair yang banyak. Jadi, ibu-ibu tidak perlu risau andai susu kelihatan sedikit selepas kelahiran. Ianya normal dan cukup untuk bayi. Kerana itulah hisapan bayi dan pelekapan yang betul selepas satu jam kelahiran amat penting untuk menggalakan pengeluaran kolostrum. Walaupun ibu tidak merasai atau melihat apa-apa yang keluar, jangan risau kerana bayi kita sudah mendapat khasiat pertamanya.

Saiz perut bayi selepas dilahirkan
credit to ratuhari
Ibu-ibu sekalian, lihat gambar rajah diatas dan perhatikan dengan mata hati. Perut bayi akan berubah mengikut umur dan keperluan bayi. Jadi, mengapa harus diberi susu formula atau air masak sebagai tambahan. Percayalah, susu kita cukup untuk permata hati kesayangan kita. Bukankah, susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Kita sudah siapkan keperluan yang cantik seperti baju, tilam dan sebagainya. Mengapa makanan keperluan bayi ini kita tidak titikberatkan. Penyusuan susu ibu memerlukan ilmu dan sokongan serta semangat yang jitu untuk melaluinya. Tanpanya kita akan menyerah kalah. Sekali lagi, galilah ilmu bersungguh-sungguh sebelum kelahiran bayi kita ke dunia ini.

Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi



Rabu, 23 April 2014

Kelas Asas Blog Dan Penulisan Kreatif

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Setiap manusia dilahirkan berbeza. Walaupun secara zahir nampak sama, namun pemikiran dan cara hidup berbeza. Minat dan kepakaran seseorang itu yang membezakan kita dengan orang lain. Malah dengan minat dan kepakaran itulah dapat menghasilkan sesuatu yang lain dari yang lain. Begitu juga dengan blog. Ada yang suka bercerita mengenai kisah peribadi, kisah suami dan isteri mahupun kisah keluarga. Ada juga yang menjadikan blog sebagai medium perniagaan. Kepesatan teknolgi membuatkan blog antara platform memulakan perniagaan yang senang dan mudah.

Awal tahun 2014, saya berkobar-kobar mahu berhenti kerja. Target saya hujung tahun saya sudah mahu berhenti. Biarlah apa orang mahu cakap. Saya tahu apa yang saya mahu. Saya tahu saya boleh. Bermula detik itu saya sering membaca di internet bagaimana mahu menjana pendapatan dirumah. Adakah dengan duduk dirumah kita boleh menjana pendapatan. Saya juga senaraikan apa yang saya mahu buat selepas berhenti. Hinggalah suatu hari saya terjumpa blog Puan Masayu Ahmad. Beliau banyak memberi idea bagaimana mahu menjana pendapatan dirumah. Ayat yang positif dan santai membuatkan saya suka membaca blog beliau.

Hinggalah suatu hari, saya melihat logo Akademi di blog kak Kizeewatty Zainal. Kami berkerja dibawah satu syarikat yang sama. Bermulalah pertanyaan demi pertanyaan saya ajukan pada beliau. Segala pertanyaan dijawab dengan berhemah dan mudah difahami. Blog beliau http://kizeewattyzainal.blogspot.com/  amat menarik sekali. Selepas membayar yuran dan membuat pendaftaran. saya dimasukkan kedalam secret group di Facebook. Ianya bertujuan untuk komunikasi dua hala antara guru online dan pelajar. Saya memilih untuk memasuki Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif bagi memantapkan penulisan saya.

Guru online saya adalah Puan Khairunnisa Hamzahra. Blog beliau iaitu Panduan Untuk Kediaman Idaman amat menarik sekali. Selepas itu, saya diberi beberapa soalan analisis bagi mengetahui minat dan kepakaran saya yang boleh diketengahkan dalam penulisan blog. Maka lahirlah blog Susu Ibu Pemangkin Dunia. Tujuan utama blog saya adalah untuk memartabatkan penyusuan susu ibu dikalangan wanita muda terutama mereka yang hamil kali pertama. Bacaan demi bacaan saya lakukan agar segala info dan maklumat yang diberikan tepat dan berkesan dihari pembaca.

Melalui bimbingan Puan Nisa juga, kami diberikan kebebasan untuk menyiapkan tugasan sebelum graduate. Untuk graduate seorang pelajar hendaklah menyiapkan 44 entry. Insyaallah saya akan menyiapkan 44 entry itu sebelum raya. Dalam kelas akan diajar bagaimana mahu menjadikan blog kelihatan menarik dengan penggunaan gajet yang tersusun. Malah pelajar-pelajar juga akan tolong menolong antara satu sama lain bagi menaikkan traffic ke blog masing-masing. Ukhwah terjalin amat rapat antara kami. Kami juga sering berbincang mengenai berbagai masalah disekeliling.

Untuk mereka yang masih teragak-agak untuk berblog, saya sarankan anda kenalpasti minat dan kepakaran terlebih dahulu. Ini bagi memastikan blog berada dilandasan yang betul dan tidak bercampur. Banyakkan info kerana orang mencari di internet untuk mendapatkan info.

Jika mahu bertanya lebih lanjut, boleh hubungi saya melalui email noratiqah.hamidi@gmail.com atau sms/whatsup ke 0137793014. Insyaallah saya akan membantu anda.

Kita adalah kita,
Bukan dijadikan untuk menjadi orang lain,
Fahami diri kita,
Sayangi diri kita,
Manfaatkan diri kita,
Semoga kita menjadi hamba Allah yang memanfaatkan orang lain..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi

Khamis, 17 April 2014

Konsep Supply VS Demand

Assalamaualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Dalam menjayakan penyusuan susu ibu, ibu-ibu seharusnya memahami konsep asas penyusuan itu terlebih dahulu. Ini bagi memastikan ibu-ibu bersedia jika menghadapi masalah ketika mula memulakan penyusuan selepas kelahiran. Apakah konsep asas penyusuan susu ibu?. Ianya adalah Supply Vs Demand (Keluaran Vs Pemintaan). Benarkah supplement membanyakkan susu?.Tidak ye ibu-ibu. Makanlah sebanyak mana supplement mahupun semahal mana supplement itu. Tetapi jika ibu-ibu tidak memahami konsep asas penyusuan ianya tidak akan berjaya. Saya terpanggil untuk menulis mengenai entry ini berikutan tedapat beberapa soalan yang kerap diajukan di FB mengenai penyusuan susu ibu.

Kebanyakkan ibu-ibu yang bertanya di FB adalah ibu-ibu yang mahu menyusukan anak sehingga 2 tahun. Tahniah untuk kita semua kerana mempunyai azam yang kuat. Namun begitu, susu ibu ini mempunyai pasang surutnya. Ketika berdepan dengan masalah, kebanyakkan ibu-ibu akan mengambil cara pintas bagi memperbanyakkan susu. Iaitu dengan pengambilan supplement dan mengabaikan konsep supply vs demand ini. Ianya salah sama sekali. Supplement dimakan dan konsep supply vs demand juga dijaga. Barulah susu akan melimpah ruah. Insyaallah. Saya akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai hal ini.

Berbalik kepada konsep Supply vs Demand, apakah sebenarnya konsep ini?. Mengapa saya katakan konsep ini penting dalam menentukan kualiti dan kuantiti susu ibu?.Ibu-ibu yang saya sayangi sekalian. Semakin banyak permintaan susu, semakin banyaklah susu akan terhasil. Inilah konsep yang paling utama dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Kita ibaratkan seperti fungsi flush tandas. Selepas kita menarik flush seteleh selesai hajat, tangki akan kosong. Selepas itu, air akan memenuhi tangki berkenaan dan akan dikawal oleh pelampung. Fungsi pelampung dalam kes ini adalah sama dengan fungsi satu hormon yang dipanggil Feedback Inhibitor of Lactation (FIL). FIL inilah yang mengawal dan mengatur penghasilan susu dalam badan ibu. Apabila air sudah penuh dalam tangki, pelampung akan berhenti berfungsi. Samalah dengan FIL. Apabila susu dalam payudara tidak dikeluarkan sama ada dengan mengepam atau memberi secara terus, FIL akan menghantar isyarat ke otak untuk menghentikan penghasilan susu. Mengapa perlu menghasilkan lebihan susu andai susu yang terkumpul dalam payudara tidak dikeluarkan. Jadi disinilah pentingnya pengosongan payudara secara konsisten.

Jika bayi menyusu dengan baik dan ibu mengepam secara konsisten, badan akan menghasilkan susu yang cukup untuk bayi. Ini kerana pengosongan payudara dilakukan dengan betul dan pengeluaran susu akan meningkat jika ibu konsisten mengepam ketika berkerja. Ini membolehkan badan menghantar signal ke otak ibu ini mahu lebih susu supaya anaknya mendapat susu yang cukup.


Inilah yang mesti dititiberatkan dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Iaitu pengosongan payudara dengan kerap dan sepenuhnya. Kenapa?. Bagi menghasilkan susu yang baru. Jika ibu-ibu membiarkan payudara penuh tanpa dikosongkan sama ada dengan mengepam atau memberi secara terus, lama kelamaan susu akan merudum. Ini yang menyebabkan ada ibu-ibu akan menberi susu formula kepada anak. Jika ibu-ibu sudah menjaga masa mengepam dengan sebaiknya, teruskan. Jangan sesekali skip masa mengepam. Jika ibu-ibu sibuk dipejabat hari itu dan tidak sempat mengepam, gantikan sesi mengepam itu pada waktu malam. Jangan malas ye ibu-ibu. 

Seperkara lagi mengenai pengosongan payudara ini. Susu ibu akan menjadi lebih cair jika pengosongan payudara tidak dilakukan dengan sebetulnya. Ini kerana susu tersebut mengandungi lebihan air. Jadi susu akan nampak lebih cair dan bayi akan cepat lapar. Inilah yang terjadi kepada saya suatu ketika dahulu. Kurangnya pengetahuan mengenai hal ini menyebabkan susu kelihatan cair. Kuantiti susu yang diperoleh memang banyak. Tetapi apalah ertinya jika kualiti susu kurang. Jadi saya mengambil langkah dengan melakukan pengosongan payudara dengan lebih teratur selepas itu.



Susu perahan saya. Dapat dilihat perbezaan kedua-dua susu ini padahal
saya mengepam pada masa yang sama. 
Ibu-ibu lihat gambar diatas. Sebelah kanan susu saya sangat cair. Manakala disebelah kiri pekat. Ini kerana saya menyusukan Eryna disebelah payudara sahaja. Dan saya mengambil masa yang lama untuk mengepam selepas itu. Jadi kuantiti susu memang akan banyak, tetapi kualiti susu tersebut adalah kurang. Ini akan menyebabkan Eryna cepat lapar dan tidak puas menyusu. Jadi saya telah mengambil langkah drastik dengan mengepam sebelum ke tempat kerja bagi mengelakkan susu saya menjadi cair. Susu sebelah kanan adalah hindmilk dan sebelah kiri adalah foremilk. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut di entry akan datang.

Disinilah kita dapat lihat betapa pentingnya pengosongan payudara dilakukan dengan efisyen. Walaupun agak leceh kerana terpaksa mengepam banyak kali, namun hasilnya amat menyeronokkan. Jangan hanya fikirkan kuantiti susu yang diperoleh, tetapi fikirkan juga konsep asas penyusuan iaitu Supply Vs Demand. Susu Ibu adalah rezeki dari Allah untuk anak kita. Jangan bandingkan hasil perahan kita dengan ibu yang lain. Lain orang lain rezekinya. Jika kita lihat orang lain mengepam hingga mendapat 30oz sehari, kita usahakan juga untuk mendapat 30oz sehari dengan cara kita. Mungkin cara kita dengan cara dia berbeza. Tepuk dada, Tanya Iman..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi

Selasa, 15 April 2014

Persoalan Mengenai Susu Ibu Selepas Kelahiran

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Susu ibu adalah anugerah terindah dari ibu kepada anak. Namun anugerah terindah ini sering dipandang enteng oleh ibu-ibu dalam menghadapi kelahiran. Kadangkala saya mahu menangis melihat bayi berumur sebulan sudah diberi susu formula dengan alasan susu tiada. Entry kali ini akan menekankan beberapa persoalan yang sering ditanya oleh ibu-ibu dalam facebook.

Soalan (S) : Mengapa bayi saya hisap susu sikit-sikit. Dia seperti tidak puas menyusu.
Jawapan (J) : Bayi baru lahir akan minum susu sedikit tetapi kerap. Ini kerana susu ibu mudah dihadam dan sazi perut bayi hanya sebesar kacang selepas dilahirkan. Jadi bayi tidak memerlukan susu yang banyak dalam satu-satu masa. Kekerapan menyusu akan mengelakkan jaundice yang tinggi. Kerapkan susukan bayi dan bersabar ye ibu-ibu

S : Bayi saya tidur lama. Perlukah saya memberi susu walaupun bayi nampak lena?
J : Ya. Bayi harus dikejutkan selepas 2 jam. Jangan biarkan bayi tidur melebihi 2 atau 3 jam selepas penyusuan terakhir. Ini boleh menyebabkan payudara ibu mengalami pembengkakan. Juga boleh menyebabkan jaundice didalam badan bayi tidak dapat dikeluarkan dengan efisyen.

S : Puting payudara saya sakit. Apa perlu saya buat?
J : Belajar cara lekapan yang betul. Sepatutnya bayi menghisap di aerola payudara. Bukan diputing. Seeloknya pelajari cara lekapan semasa ibu-ibu berada dihospital lagi. Jika berlarutan, bolehlah menggunakan krim untuk puting luka seperti Medela Lanolin Tendercare.

S : Saya pam susu dan hanya dapat 1 atau 2oz. Cukup ke untuk anak.
J : Susu sikit bukan bermakna susu tidak cukup untuk anak. Perhatikan berapa kali bayi menyusu dalam sehari. Seeloknya bayi menyusu 8-10 kali dalam sehari. Apabila ibu mengepam, susu yang keluar sikit kerana bayi ibu-ibu sudah mendapat susu. Jadi tidak perlu risau sekiranya susu itu sedikit.

S : Saya baru bersalin. Kenapa susu tidak keluar?
J : Selepas kelahiran kolostum akan terhasil. Ianya keluar sedikit demi sedikit mengikut keperluan bayi ketika itu. Beri bayi hisap payudara sekerap dan semahu bayi untuk memastikan payudara menghasilkan susu matang. Selalunya susu matang terhasil selepas 3 atau 4 hari selepas kelahiran bergantung kepada kekerapan bayi menghisap payudara. Jadi, jangan risau jika ibu-ibu melihat susu sedikit. Susu tidak akan keluar mencurah-curah. Susu akan keluar mengikut keperluan bayi. Ibu-ibu hanya perlu memberi susu sekerap yang boleh.

S : Bagaimana saya mahu memastikan anak saya kenyang setiap kali menyusu?
J : Bayi menyusu mengikut keperluan. Ibu-ibu perlu mengambil perhatian kepada tanda-tanda bayi mahu menyusu seperti menangis, memasukkan tangan dalam mulut, mencari-cari payudara dan lain-lain. Selepas itu, berilah susu dengan tenang dan biarkan bayi melepaskn puting payudara dengan sendirinya. Jika bayi tertidur semasa penyusuan, itu juga merupakan satu tanda bahawa bayi sudah kenyang. Sendawakan bayi dengan lembut dan bairkan bayi tidur.

S : Bayi saya masih menangis walaupun sudah diberikan susu. Susu saya tidak kenyangkan bayi.
J : Bayi menangis bukan kerana lapar sahaja. Banyak faktor lain yang menyebabkan bayi menangis antaranya lampin basah, bayi membuang air besar, digigit seranggan dan lain-lain. Jadi sekiranya bayi ibu-ibu masih menangis selepas diberikan susu, periksa lampin bayi. Periksa juga perut bayi untuk mengelakkan kembung. Adakalanya bayi hanya mahi didakap kerana dakapan ibu akan memberi kehangatan kepada bayi. Degupan jantung ibu ibarat irama yang mengasyikkan untuk bayi. Jadi, dakaplah dan peluklah bayi untuk memenangkan bayi. Ketika didalam perut, suasana senyap. Setelah lahir, pelbagai bunyi yang didengar. Jadi berada dekat dengan ibu dirasakan sangat selamat.

Ini antara merupakan soalan-soalan yang bermain diminda oleh ibu-ibu yang melahirkan. Pesanan saya banyakkan membaca dan mencari ilmu penyusuan ketika di alam kehamilan lagi. Berdoa pada Yang Maha Kuasa supaya kita dipermudahkan dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Dapatkan sokongan terutama dari suami supaya kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dimasa akan datang. Berceritalah dengan mereka yang berjaya menyusukan anak supaya kita boleh mengimaginasi keadaan selepas kelahiran. Selamat menyusukan anak. Jangan mudah mengalah...

Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi..


Khamis, 10 April 2014

Penyusuan Selepas Kelahiran

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Penyusuan susu ibu bermula sejurus kelahiran. Segala ilmu yang dicari dan digali akan dipraktikkan pada masa ini. Mengikut pengalaman saya, bayi akan diberi setelah segala urusan selesai. Ini bagi memastikan ibu bersedia untuk menerima bayi. Ketika didalam dewan bersalin, gambar mengenai penyusuan susu ibu dipaparkan dengan jelas agar ibu terus memberi susu selepas kelahiran. Apabila Eryna diberi kepada saya, saya sudah bersedia untuk menyusuinya. Alhamdullillah, Eryna mencari puting sendiri setelah saya meletakkan Eryna di dada. Bermulalah penyusuan susu ibu untuk Eryna hingga ke saat ini.

Untuk ibu-ibu yang hamil pertama kalinya, saya nasihatkan anda agar mencari ilmu penyusuan dengan sebanyak mungkin. Ini kerana kurangnya pengetahuan dan pengalaman mungkin menyebabkan kita hilang punca. Mengikut pengalaman saya, kebanyakkan hospital kerajaan adalah hospital rakan bayi. Apakah hospital rakan bayi?. Hospital rakan bayi adalah hospital yang menggalakkan ibu-ibu memberi susu badan. Bahkan jika tidak dibenarkan membawa botol susu ke dalam wad.

Jadi, selepas bayi diberikan kepada kita, mulailah menyusu dengan tenang. Bayi akan mencari puting ibunya sendiri. Ini kerana deria bau bayi amat kuat ketika ini. Nikmatilah saat indah tersebut bersama bayi agar penyusuan susu ibu berjalan lancar seiring dengan niat dan azam yang kuat. Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu-ibu selepas kelahiran bayi.


  1. Susuilah bayi seawal yang mungkin. Lebih elok sekiranya diberi susu dalam masa 1 jam selepas kelahiran bayi.
  2. Jauhi susu formula. Lebih baik andaikata kita tidak membeli langsung susu formula. Ini bagi memastikan kita bersemangat untuk menyusukan bayi. Jauhi juga air masak dan makanan pelengkap yang lain. Untuk pengetahuan ibu-ibu, air masak tidak boleh diberi jika bayi berumur 6 bulan kebawah. Hanya diberi susu ibu sahaja. Ini untuk mengelakkan gangguan kepada bekalan susu ibu.
  3. Biarkan bayi menentukan masa menyusunya sendiri. Ada bayi yang mahu menyusu setiap 2 jam. Ada juga yang mahu menyusu setiap 1 jam. Setiap bayi tidak sama dengan bayi yang lain. Keperluan susu juga berbeza. Jadi susuilah sekerap dan semahu bayi itu sendiri.
  4. Memberikan kedua-dua belah payudara setiap kali sesi penyusuan diawal-awal kelahiran bayi. Ini kerana bekalan susu setiap payudara tidak sama. Ianya bergantung kepada kekerapan memberi susu kepada bayi.
  5. Biarkan bayi menghabiskan hisapan susu pada sebelah payudara pada satu-satu masa sebelum memberi payudara yang satu lagi. Ini bagi memastikan bayi mendapat susu akhir (hindmilk) diakhir penyusuan. Bayi akan melepaskan puting ibunya dengan sendiri apabila sudah kenyang. Ada juga bayi yang akan tertidur semasa menyusu. Itu menunjukkan bayi sudah kenyang.
  6. Susukan bayi sebanyak 8-10 kali sehari termasuk ketika malam. Jika bayi tidak menyusu selepas 3 jam, kejutkan bayi. Pastikan bayi menyusu setiap 2 jam. 
  7. Hindari puting kosong (pacifier). Puting akan menyebabkan kita tidak peka terhadap bayi yang lapar. Dan juga menyebabkan penyusuan mengikut permintaan akan terganggu disebabkan keasyikkan bayi menghisap puting. Ada juga bayi yang menolak untuk menyusu secara terus disebabkan puting kosong. Jauhi puting kosong.
  8. Makanlah dan minumlah makanan yang berkhasiat agar kita boleh menghasilkan susu yang terbaik untuk anak. Pastikan ibu-ibu meminum air masak lebih dari 3 liter sehari untuk memastikan badan tidak kekurangan air.
Sematkan dalam hati dan jiwa ibu-ibu untuk menyusukan anak selama 2 tahun. Insyaallah segala cabaran dan rintangan dapat ditempuhi. Jangan mengalah dengan susu formula walaupun kita menghadapi masalah kekurangan susu. Banyak cara untuk membanyakkan susu. Saya akan ulas di entry yang akan datang. Marilah memartabatkan penyusuan susu ibu.

Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi

Selasa, 8 April 2014

Saya mahu susu ibu..

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Penyusuan susu ibu bukan semudah yang disangka. Bukan hanya selak baju dan suakan payudara pada anak. Disebaliknya banyak ilmu dan pengetahuan perlu digali dan dicari sebanyak mungkin. Saya bukanlah mahu menakutkan ibu-ibu diluar sana bahawa susu ibu menyusahkan, tetapi bersedialah dengan persediaan yang rapi agar kita betul-betul bersedia untuk menyusukan anak tanpa susu formula. Nampak tak disitu betapa pentingnya persediaan sebelum penyusuan bermula.

Ibu-ibu yang saya sayangi, susu ibu merupakan makanan utama bayi. Bayi mempunyai naluri hisapan yang amat kuat selepas dilahirkan. Sebab itulah bayi pandai mencari puting ibunya sendiri dengan hanya meletakkan bayi diatas dada ibu. Allah maha besar. Kita sudah bersusah payah mengandung 9 bulan. Tetapi apabila dikurniakan susu, mengapa kita mahu mengalah. Mengapa kita tidak bersedia sepenuhnya sebelum kelahiran bayi lagi. Susu ibu sudah tersedia. Hanya perlu disuakan payudara. Bersama dengan ilmu dan pengetahuan.

Kadangkala saya mahu menangis melihat ibu-ibu yang ada susu, tetapi tidak bersedia dengan ilmu. Akhirnya memberi susu formula kepada anak. Akibatnya anak merengek dirumah pengasuh. Bukan tiada rakan untuk bertanya, tetapi sikap ibu itu sendiri yang membuatkan penyusuan susu ibu itu gagal. Antara alasan yang sering saya dengar adalah malas mengepam, tiada tempat simpan susu, susu sikit buat apa nak pam dan berbagai-bagai lagi. Mengapa tidak dihalakan tangan ke keyboard komputer dan google semua permasalahan itu. Pasti ada penyelesaiannya.

Paling penting sekali ibu-ibu jangan malas. Jangan beranggapan bila susu sikit sudah tidak perlu mengepam. Bagaimana susu mahu menjadi banyak andai ibu-ibu tidak mengosongkan payudara dengan efisyen. Saya juga pernah mengalami masalah susu sikit apabila dipam. Apa yang saya buat?. Saya google untuk mencari penyelesaian. Dan penyelesaiannya dengan menambah sesi mengepam dan memperbanyakkan memberi susu secara terus dari payudara. Bukan tidak mengepam. Nampak tak disitu betapa pentingnya pengosongan payudara. Tidak perlu makan supplement beratus-ratus untuk banyakkan susu. Cuma perlukan sedikit usaha dan diiringi dengan doa serta ilmu.

Mengapa ketika kita menyediakan keperluan kelahiran seperti baju, tilam bayi, katil bayi kita tidak menyediakan keperluan pemakanan untuk permata hati. Pemakanan disini adalah susu ibu. Bayi memerlukan susu ibu bukan susu formula. Jika ibu-ibu mengalami masalah penyusuan, jangan segan untuk bertanya. Berjumpalah dengan pakar laktasi seperti Sarakids, Lunatots, Suri dan lain-lain. Jika tidak mahu, mungkin boleh bertanya kepada ibu-ibu yang telah berjaya menyusukan anak. Banyak cara penyelesaiannya sebelum diberi dengan susu formula. Dibawah ini adalah hireaki turutan penyusuan yang sepatutnya ibu-ibu fahami megapa susu ibu adalah yang terbaik untuk anak
  1. Susu ibu secara terus dari payudara
  2. Susu ibu dari ibu susuan
  3. Susu ibu yang dibekukan (EBM)
  4. Susu formula
Nampak tak disitu betapa susu ibu perlu diberi sebelum beralih dengan susu formula. Jadi saya menyeru kepada ibu-ibu dan bapa-bapa diluar sana agar memantapkan ilmu penyusuan sebelum kelahiran permata hati kesayangan kita. Ini bagi memastikan penyusuan boleh dijalankan dengan jayanya hingga 2 tahun. Insyaallah.

Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi