Khamis, 27 Mac 2014

Persediaan Dalam Penyusuan

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Ketika kita sibuk menyediakan persiapan menyambut kelahiran permata hati, ada ibu-ibu bersedia dalam penyusuan?. Bersedia dari segi mental dan fizikal. Bersedia dengan sokongan suami yang kuat. Sebenarnya bilakan masa yang sesuai untuk ibu-ibu bersiap sedia dalam penyusuan ini. Jawapannya adalah SEKARANG. Ya sekarang. Tidak perlu menangguh sehingga esok. Tidak perlu menunggu hingga masa bayi dilahirkan. Ianya perlu dimulakan sekarang juga. Antara perkara-perkara yang diperlukan untuk menyusukan bayi adalah


1.  Payudara. 
  • Setiap wanita dilahirkan dengan payudara. Fungsi utama payudara adalah menghasilkan susu untuk bayi. Wanita yang melahirkan akan mempunyai susu yang cukup untuk bayi. Tetapi ianya tidaklah semudah yang disangka kerana payudara setiap wanita itu berbeza. Saiz, bentuk puting, saiz puting mahupun warna bukanlah aspek penting dalam penyusuan susu ibu. Bayi seharusnya menyusu di aerola, bukan di puting. Jadi jika ibu-ibu mengalami masalah seperti puting pendek, puting tenggelam atau tiada puting sekalipun ianya tidak memberi masalah kepada penyusuan susu ibu. Masalah ini boleh diatasi selagi ibu-ibu mempunyai payudara.
2.  Azam dan Keinginan
  •  Jikalau kita sudah mempunyai azam pastinya kita akan cuba memenuhi azam tersebut dengan apa cara sekalipun. Betul tidak ibu-ibu?. Jadi azamkan dalam diri ibu-ibu untuk memberi susu badan sejurus kelahiran bayi lagi. Azam yang disertakan dengan keinginan akan mendorong seseorang untuk mecapai apa yang dihajati. Segala cabaran dan rintangan pasti dapat ditempuhi.
3.  Keyakinan diri
  • Jika persekitaran ibu-ibu bukan persekitaran yang menyokong penyusuan susu, ibu-ibu harus menanam keyakinan diri yang jitu untuk menjayakan penyusuan susu ibu. Mungkin kita pernah gagal semasa anak pertama. Mungkin juga kita melihat rakan kita hanya menyusukan anak selama 3 bulan dan mencampurkan dengan susu formula. Malah dalam keluarga kita juga tiada yang berjaya dalam penyusuan susu ibu. Ini semua adalah cabaran yang ibu-ibu harus tempuhi. Sebab itulah keyakinan diri amat penting untuk dipupuk sebelum kelahiran bayi lagi agar ibu-ibu bersedia menghadapi cabaran. Jikalau ibu-ibu tidak pernah mempunyai pengalaman gagal dalam penyusuan, tidak perlu fikirkan kegagalan kerana ibu-ibu tidak pernah gagal. Sematkan dalam diri. Aku yakin boleh..
4.  Ilmu
  • Ini adalah salah satu aspek terpenting dalam penyusuan susu ibu. Sudah saya tegaskan dalam entry sebelum ini mengenai betapa pentingnya ilmu penyusuan susu ibu. Dengan kepesatan teknologi sekarang, ilmu boleh diperolehi dengan hujung jari sahaja. Malah ibu-ibu boleh bertanya soalan di Facebook tanpa ragu-ragu kerana akan ada ibu-ibu lain yang sudi menjawab. Jadi, ilmu itu luas. Ianya tidak datang secara bergolek. Perlu dicari dan digali sebelum dapat dituai hasilnya. Jangan jemu untuk mencari ilmu. Adalah lebih baik sekiranya ibu-ibu berjumpa dan bertanya dengan mereka yang berjaya menyusukan anak. Kebanyakkan mereka yang gagal dalam penyusuan susu ibu bukanlah kerana ketiadaan susu tetapi kerana ketiadaan ilmu.
5.  Sokongan
  • Carilah kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dikalangan mereka yang berjaya menyusukan anak. Contoh di Facebook adalah Kumpulan Ibu-Ibu Menyusukan (KIM). Kumpulan ini bergerak secara dalam talian dan amat menyokong penyusuan susu ibu. Di dalah kumpulan ini juga disediakan beberapa dokumen untuk diteliti dan difahami oleh ibu-ibu. Tetapi sokongan yang paling utama adalah suami kita. Kerana jika suami menyokong, kita sebagai ibu akan berasa dihargai dan disayangi. Bagi membolehkan suami menyokong, kita mestilah memberitahu sebanyak mungkin mengenai penyusuan susu ibu agar suami bersedia untuk menangkis sebarang soalan dan keraguan pihak lain.
Melalui gambaran diatas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk seseorang ibu berjaya dalam penyusuan melibatkan banyak pihak. Namun, ibulah yang seharusnya memberi tunjuk ajar dan pengetahuan kepada orang disekeliling agar mereka memahami penyusuan susu ibu. Jangan berharap mereka akan memahami jika kita tidak cuba memberi kefahaman kepada mereka..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi



Selasa, 25 Mac 2014

Duit Gaji

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Alhamdullillah, Syukur atas nikmatnya. Hari ini sudah beberapa hari gaji kita dapat. Betul?. Jika ya, berapa jumlah yang tinggal?. Berapa jumlah untuk disimpan?. Berapa jumlah untuk kecemasan?. Jika anda sudah menyimpan, tahniah untuk anda. Saya akan senaraikan beberapa tips yang berguna untuk anda ketika mendapat gaji dan cara untuk mencukupkan gaji.


  • Apabila gaji sudah diterima, jangan lupa mak dan ayah. Perkara pertama, pindahkan ke dalam akaun mak dan ayah. Banyak atau sedikit itu tidak penting. Walaupun mereka mempunyai pendapatan, tetapi berikan sebagai hadiah. Percayalah, duit gaji kita akan cukup.
  • Jangan lupa akaun Tabung Haji kita. Sebaiknya memotong melalui potongan gaji adalah terbaik.Kita perlu tahu bilamana kita sudah mendaftar haji, bermakna nawaitu telah ada.
  • Jika anda seorang ayah, ingat kembali urusan anak. Sebaiknya aqiqahkan mereka dahulu sebelum anda menukar sport rim baru.
  • Jika anda seorang isteri yang berkerja, bantulah suami dalam menguruskan rumahtangga. Berkongsilah membayar bil atau membeli barang agar mendapat redha suami. Tetapi suami janganlah mengambil kesempatan keatas kebaikan isteri.
  • Jika anda seorang isteri yang tidak bekerja, redha dengan apa yang ada. Jangan menrungut dengan apa yang suami sediakan. Terima dengan ikhlas. Tidak ada suami yang mahukan kekurangan dalam keluarga.
  • Lihat disekeliling anda. Ada atau tidak keluarga terdekat yang perlu dibantu. Percayalah, rezeki kita akan sentiasa cukup jika mendahulukan orang yang memerlukan.
  • Jangan kedekut tetapi jangan pula terlalu boros. Berpada-padalah dalam membeli agar keperluan diutamakan berbanding kemahuan.
Dibawah ini pula tips untuk berjimat jika anda baru bermula untuk menabung.
  • Setiap hari, pindahkan RM5 atau RM10 kedalam satu akaun simpanan (saving) secara dalam talian(online). Jika tidak mahu, pindahkan RM5 atau RM10 kedalam satu bekas yang ditutup dengan ketat.
  • Setiap hari dimalam hari, keluarkan kesemua duit RM1 yang ada didalam beg duit anda. Jangan sayang. Masukkan duit RM1 kedalam bekas yang jernih untuk kita seronok melihat duit bertambah. Jika mahu berbelanja keesokkan hari, gunakan duit yang besar seperti RM5 atau RM10.
  • Setiap kali mahu keluar ke tempat kerja, keluarkan duit syiling yang ada. Masukkan ke dalam tabung dan ditutup supaya tidak boleh dibuka.
  • Pada setiap hari Jumaat, masukkan RM10 kedalam tabung masjid. Sedekahkan niat kerana Allah Taala.
  • Amalkan solat sunat Dhuha setiap pagi agar dimurahkan rezeki.
Ini sahaja tips dari saya untuk anda-anda diluar sana yang mendapat gaji. Semoga gaji anda bermanfaat untuk keluarga dan rakan.

Isnin, 24 Mac 2014

Tips Ke Baby Expo

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi


Bermula 28 Mac 2014 hingga 30 Mac 2014 akan berlangsung Mom and Baby Expo di Danga City Mall, Johor Bahru. Expo ini pernah dijalankan pada tahun lepas. Dan saya pengunjung tetap expo ini. Entry kali ini akan menceritakan pengalaman serta tips bagaimana mahu membeli barang keperluan bayi semasa di expo.

Pada tahun 2013, expo ini dijalankan sebanyak 3 kali. Pertama pada bulan Mac, kedua pada bulan Jun dan yang terakhir pada bulan September. Saya pergi pada bulan Mac semasa awal mengandung kemudian pada bulan Jun saya dalam trimester akhir kehamilan. Dan seterusnya pada bulan September selepas kelahiran Eryna. Nasiblah suami saya rajin untuk pergi. Kalau tidak, saya tidak dapat merasa kehangatan expo berkenaan. Expo yang dijalankan menjual barang keperluan ibu dan juga bayi seperti baju, kelengkapan selepas bersalin, barang-barang penyusuan, pampers dan bermacam lagi. Di bawah ini saya senaraikan tips membeli ketika berada diexpo ini

  1. Senaraikan barang-barang yang hendak dibeli. Ini bagi memastikan anda sebagai ibu dan bapa membeli mengikut keperluan bukan mengikut kemahuan. Semestinya untuk ibu dan bapa yang pertama kali menerima cahaya mata akan berasa teruja melihat barangan bayi, tetapi anda mestilah merancang kewangan dengan sebaiknya bagi mengelakkan pembaziran
  2. Perhatikan barang yang dikehendaki di semua booth. Ini bagi memastikan anda mendapat barang yang dikehendaki pada harga berpatutan. Ketika ini barang yang ditawarkan akan lebih murah berbanding harga pasaran. Jadi sebelum anda membeli, anda bolehlah melihat dan meneliti barang tersebut disemua gerai dan bandingkan harganya sebelum membeli.
  3. Merancang kewangan dengan sebaiknya. Andai kata anda mahu membeli baju untuk menyambut kelahiran bayi, tidak perlu membeli terlalu banyak baju. Jika anda mahu membeli barang penyusuan seperti pam susu, saya syorkan anda membuat perbandingan dibanyak gerai dan lihat bagaimana pam susu tersebut beroperasi. Saya menasihatkan anda agar berbelanja secara tunai. Bukan secara kad kredit.
  4. Untuk anda yang mempunyai anak kecil, sebaiknya gunalah baby carrier (pendukung bayi). Ini kerana kawasan expo di Dangan City Mall ini kecil dan padat. Ruang antara gerai juga kecil. Jadi untuk memudahkan anda berjalan, elakkan membawa stroller. Ia juga memudahkan pengunjung lain. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.
  5. Pastikan anda membeli barang yang dikehendaki sahaja. Ini bagi memudahkan anda membeli dan fokus kepada barang itu sahaja.
  6. Makanlah dengan kenyang sebelum anda pergi. Ini kerana tempat makan di Danga City Mall ini agak terhad dan ramai orang. Jadi untuk mendapatkan tenaga sebelum membeli belah, makanlah dan minumlah dengan kenyang.
  7. Seeloknya pergi pada waktu pagi. Ini kerana kawasan tempat meletak kendaraan amat terhad. Ketika ini musim hujan sudah bermula di Johor Bahru. Pastikan anda membawa payung. 
  8. Untuk ibu-ibu yang sedang hamil, pakailah pakaian yang selesa untuk anda. Ini kerana dewan expo yang padat dengan pengunjung akan membuatkan anda kurang selesa. Pemakaian kasut juga perlu dititiberatkan agar anda mudah untuk berjalan. Ini penting jikalau anda terpaksa meletak kereta jauh dari dewan expo (pengalaman sendiri juga)
Ini merupakan tips berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ianya bagi memudahkan anda terutama ibu dan bapa yang akan menimang cahaya mata sulung. Selamat membeli belah.

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi

Ahad, 23 Mac 2014

Kenapa saya Menjual T-shirt Muslimah

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Saya adalah seorang yang sangat suka membeli baju. Baju yang saya suka beli adalah dalam lingkungan RM20-RM60. Bergantung kepada corak dan rekaan. Tetapi untuk Muslimah, corak dan rekaan baju di pusat beli belah terkenal agak terhad. Sebahagiannya tidak sesuai untuk Muslimah. Adakalanya penuh dengan gambar kartun. Jadi atas dasar inilah saya menjual T-shirt Muslimah.

T-shirt Muslimah ini sesuai digayakan untuk sesiapa sahaja. Tidak kira usia, tua mahupun muda. Kepesatan teknologi menyebabkan corak dan rekaannya sentiasa berubah. Jadi, t-shirt Muslimah ini tidak ketinggalan zaman. Malah ianya sesuai disuaipadankan dengan skirt mahupun jeans.

Untuk ibu-ibu yang menyusukan anak, t-shirt Muslimah juga didatangkan dengan rekaan yang sesuai untuk anda. Jadi anda boleh bergaya disamping memenuhi keperluan menyusu anak walaupun anda berada diluar. Saya sendiri memiliki beberapa helai t-shirt Muslimah menyusu ini. Amat mudah. Masih menutup aurat ketika anda menyusukan anak.

Saya mula mengenal t-shirt muslimah ini sejak 2012 lagi. Sewaktu itu tidak banyak jenama lagi. Jadi pilihan untuk membeli agak terhad. Ketika memasuki 2013, sudah banyak jenama t-shirt Muslimah dipasaran. Walaupun anda kurang melihat di pusat beli belah terkemuka, mereka ini aktif menjual dalam talian (online). Ini akan memudahkan anda untuk membeli tanpa perlu pergi ke pusat beli belah atau kedai. Hanya duduk dihadapan laptop atau smartphone dan beli. Saya sendiri mula membeli dalam talian. Ini kerana kekangan masa menyebabkan membeli secara dalam talian adalah pilihan saya.

Saya menjual untuk memartabatkan fesyen wanita Muslimah di Malaysia amnya dan didunia khususnya. Saya mengerti sebahagian anda berpendapat t-shirt Muslimah ini harganya agak mahal. Tetapi lihatlah dari sudut yang lain juga. Kain yang digunakan berkualiti. T-shirt juga labuh menutupi punggung. Warna dan rekaan juga menarik. Jahitan kemas dan cantik. Pada saya berpada dengan harga yang ditawarkan.
Dalam al-Quran Allah berfirman: (maksudnya)“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Saranan untuk menutup aurat terkandung didalam Al-quran. Jadi kita sebagai hambanya hendaklah mematuhi perintah Allah agar kita disayangi dan dirahmati. Tujuan artikel ini bukan untuk melariskan jualan, tetapi ingin membuka mata Muslimah-muslimah diluar sana mengenai Baju T-shirt Muslimah yang sangat sesuai untuk anda. Harga yang berpatutan. Seiring dengan fesyen wanita Muslimah. Masih kekal bergaya walaupun menutup aurat. Itulah tujuan sebenar saya menjual t-shirt Muslimah. Saya berharap usaha saya menjual t-shirt Muslimah diterima dengan baik oleh Muslimah-Muslimah di Malaysia amnya dan seluruh dunia khususnya. Semoga dengan ini dapat memberikan pahala yang berterusan untuk saya bawa ke akhirat nanti. Insyaallah..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi


Sabtu, 22 Mac 2014

Kuatkan Semangatmu wahai Ibu

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Hari ini saya menerima pertanyaan dari rakan karib saya. Persoalan mengenai cara memperbanyakkan susu. Ini kerana dia menerima teguran dari rakan sepejabat yang bernada memerli masih mahu mengepam tetapi hasil sedikit. Sudahnya rakan saya hilang semangat untuk terus mengepam.

Saya berkata padanya, jangan berhenti mengepam hinggalah susu kering. Teruskan mengepam. Jangan pedulikan kata-kata orang. Fikirkan tentang anak. Walaupun sukar, tetapi hasilnya amat memberi kepuasan kepada ibu. Jangan berputus asa. Perjalanan penyusuan dia masih panjang.

Nasihat saya kepada ibu-ibu, carilah ilmu mengenai penyusuan susu ibu agar anda kuat untuk menepis segala kata-kata dari orang disekeliling. Carilah seseorang yang boleh anda rujuk ketika mengalami masalah penyusuan. Saya sendiri mempunyai seorang rakan sepejabat yang menjadi tempat rujukan dan tempat bercerita. Kami sering bertukar cerita mengenai anak kami. Seronok rasanya bilamana kami berkongsi pengalaman yang sama. Kepada ibu-ibu yang mengalami masalah seperti rakan saya, berjumpalah dan berceritalah dengan mereka yang berjaya menyusukan anak. Nanti anda akan mendapat sokongan dan semangat jitu untuk meneruskan penyusuan. Bukan tidak boleh anda mencari maklumat di internet, tetapi interaksi dua hala lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah anda.

Jika ada ibu-ibu yang mahu bertanya mengenai penyusuan susu ibu, jangan malu dan segan untuk menghubungi saya. Saya dengan rela hati akan cuba menyelesaikan masalah ibu. Jika ibu-ibu berada di sekitar Pasir Gudang mungkin kita boleh bersua muka. Insyaallah saya sedia bertemu dengan anda. Anda boleh menghubungi saya melalui sms/whatsup 0137793014. Jangan malu untuk bertanya kerana saya suka untuk menjawab..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi

Khamis, 20 Mac 2014

Jimat dengan Menyusukan Bayi.

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Setiap ibu bapa mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Sekalipun tidak sempurna, tetapi itulah yang tebaik untuk anak-anak. Melalui penyusuan susu ibu juga dapat memberikan yang terbaik untuk anak. Ini kerana susu ibu adalah makanan terbaik dan tiada tolok bandingnya. Kali ini saya akan berkongsi bagaimana penyusuan susu ibu ini menjimatkan dalam sesebuah keluarga.

Terdapat beberapa pendapat yang akan mengatakan penyusuan susu badan agak menrugikan. Ini kerana ibu perlu mempunya gadjet penyusuan yang agak mahal harganya. Seperti pam susu, cooler bag dan sebagainya. Ditambah dengan keperluan untuk mengepam juga akan menyebabkan ibu-ibu tidak mahu menyusukan anak. Ada juga alasan seperti tiada peti ais dipejabat, susu tidak keluar dan bermacam seribu satu alasan lagi. Tetapi ibu-ibu sekalian, fikirkanlah khasiat yang anak akan perolehi dengan susu badan. Tiada tolok bandingnya berbanding susu formula.

Mari kita kira kos membeli susu formula (FM) dengan susu ibu (SI)

Kos susu formula sehingga 2 tahun adalah seperti berikut

Harga purata 1 tin susu formula = RM50
RM50 x 4 tin untuk sebulan = RM200
RM200 X 24 bulan = RM4800

Kos susu Ibu sehingga 2 tahun adalah seperti berikut

PERCUMA

Walaubagaimanapun, untuk ibu-ibu yang bekerja anda memerlukan pam susu yang berkualiti. Pam susu paling mahal yang saya jumpa adalah RM2200.

RM4800 - RM2200 = RM2600

Sebanyak RM2600 anda dapat jimat dengan menyusukan anak dengan susu badan. Ditambah lagi dengan beban kewangan yang agak tinggi, penyusuan susu badan amat menjimatkan. Sekarang anda percaya cakap saya bahawa susu badan merupakan tindakan bijak dalam menguruskan ekonomi keluarga?..

Pesan saya kepada ibu-ibu rancanglah kewangan anda dengan sebaik-baiknya semasa fasa kehamilan lagi. Belilah pam susu atau belajarlah teknik marmet (memerah susu menggunakan tangan) dengan mereka yang berjaya menyusukan anak. Jangan berdiam diri. Selamilah ilmu penyusuan susu ibu ini dengan selengkapnya agar anak memperoleh makanan utamanya iaitu susu ibu..



Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi








Isnin, 17 Mac 2014

Senarai Semak untuk Ibu Hamil dalam Menjayakan Penyusuan Susu Ibu

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Penyusuan susu ibu bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya memerlukan pengetahuan dan tunjuk ajar agar ibu-ibu berjaya mengatasi setiap masalah yang melanda. Kali ini saya sediakan senarai semak (checklist) kepada ibu-ibu yang sedang hamil agar ibu-ibu berjaya dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Ibu-ibu boleh copy maklumat ini untuk dikongsi bersama suami dan keluarga bagi mereka memahami niat ibu-ibu untuk menyusukan bayi.


Semoga dengan senarai semak ini dapat membantu ibu-ibu dalam menjayakan penyusuan susu ibu serta memberikan semangat dan motivasi untuk ibu-ibu. Saya berharap agar ibu-ibu bersedia ketika kehamilan lagi..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi



Ahad, 16 Mac 2014

Medela Freestyle

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi


Pam susu menrupakan satu gadjet yang amat penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Entry kali ini saya akan senaraikan mengapa saya membeli Medela Freestyle yang menjadi idaman hati ibu-ibu di luar sana. Saya faham pam susu ini adalah antara pam susu yang mahal, tetapi percayalah cakap saya pam ini akan memberi anda motivasi dan semangat juang yang tinggi untuk menyusukan anak anda. Selama 9 bulan kehamilan, anda boleh mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk membeli pam idaman hati ini. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Medela Freestyle ini merupakan double breastpump (pam berganda). Melalui entry saya yang lepas, saya telah menerangkan serba sedikit mengenai pam susu. Kali ini saya akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Medela Freestyle. Medela Freestyle merupakan pam bergred hospital dan tahan untuk ibu-ibu yang ekslusif pam sahaja. Maksud ekslusif pam disini adalah ibu tersebut akan mengepam sahaja tanpa memberi secara terus kerana masalah tertentu.

Dalam set Medela Freestyle ini didatangkan sekali dengan set bag yang sangat cantik yang dikenali dengan Medela Citystyle. Jadi, ibu-ibu tidak perlu membeli cooler bag yang lain. Hanya gunakan cooler bag ini sahaja.
Medela Citystyle
Medela Freestyle merupakan pam yang mempunyai 2 fasa pemerahan yang bermaksud pam ini akan meniru gaya hisapan bayi. Ketika permulaan pam, ianya akan meransang pengeluaran susu. Setelah 2 minit, pam akan bertukar ke fasa pemerahan. Jika ibu-ibu tidak mahu menunggu sehingga 2 minit, ibu-ibu boleh menekan butang diatas pam tersebut untuk memulakan pemerahan. Ini kerana ibu-ibu akan mengalami let down refleks ketika fasa ransangan. Jadi ketika mengalami let down refleks ibu-ibu boleh menukar ke fasa mengepam. Pam ini disertai dengan skrin LCD yang memaparkan masa yang diambil untuk mengepam. Ini memudahkan ibu-ibu mengenal pasti berapa lama masa yang diambil kerana satu sesi mengepam hanya mengambil 15-20 minit sahaja.

Medela Freestyle juga didatangkan dengan handsfree kits. Inilah faktor utama mengapa pam ini digelar freestyle. Handsfree kits ini digunakan untuk mengepam tanpa perlu ibu-ibu untuk memegang botol. Selain itu juga ianya berguna ketika ibu-ibu mengepam di meja. Ini membolehkan ibu-ibu mengepam sambil membuat kerja. Hanya gunakan selendang atau tudang untuk menutup bahagian dada. Jadi ibu-ibu tidak perlu pergi ke surau atau pantry untuk mengepam. Hanya duduk di tempat dan pam.

Medela Freestyle Handsfree Kits
Selain itu juga, Medela Freestyle ini juga mempunyai baterinya sendiri. Melalui pengalaman saya, bateri ini boleh bertahan sehingga seminggu untuk ibu-ibu yang mengepam 3 atau 4 kali sehari selama 15-20 minit. Ini tidak termasuk jika ibu-ibu melakukan power pumping. Ibu-ibu hanya perlu mengecas bateri seperti mengecas telefon bimbit. Selalunya bateri akan penuh 2-3 jam. Selain itu juga, pam yang mempunyai baterinya sendiri ini amat memudahkan kerana tidak perlu bergantung kepada punca kuasa elektrik. Misalnya jika tempat kerja ibu-ibu jauh dari rumah, ibu-ibu boleh mengepam sambil memandu. Malah boleh mengepam ketika membuat kerja rumah.

Medla Freestyle juga boleh digunakan sebagai single pump. Saya selalu menjadikan pam saya sebagai single pump ketika saya melakukan tandem nursing dengan Eryna. Sebelah payudara saya menyusukan Eryna, sebelah lagi saya pam. Ini bagi memastikan payudara menghasilkan susu dengan lebih banyak bergantung kepada keperluan. Selain itu juga Medela Freestyle juga didatangkan dengan parts kit, connectors, personal fits saiz M dan L dan tubing untuk mengepam.

Bahagian yang terdapat dalam Medela Freestyle
Dibawah ini saya senaraikan kedai-kedai online yang menjual Medela Freestyle secara ansuran atau melalui kumpulan kutu. Kedai-kedai ini juga mejual pam jenama lain. 
Ibu-ibu juga harus menitikberatkan kebersihan parts kits. Ini kerana parts kits merupakan alatan mengepam yang paling utama untuk Medela Freestyle. Cara-cara untuk membersihkan pam ini adalah seperti berikut ;
  • Jangan biarkan parts kits ibu-ibu direndam. Ianya tidak perlu direndam
  • Jangan terus menyimpan parts kits ibu didalam fridge/cooler bag selepas mengepam. Ianya mestilah dibasuh terlebih dahulu sebelum disimpan. Ini bagi mengelakkan susu yang tinggal membeku lalu menyebabkan parts kits ibu-ibu rosak.
  • Jangan biarkan parts kits ibu-ibu tidak dibasuh semalaman. Seharusnya kebersihan mestilah dititikberatkan apabila sudah menjadi ibu.
  • Apabila pulang ke rumah, basuhlah parts kits ibu-ibu dengan air suam bersabun. Untuk mencuci celahan pats kits tersebut, ibu-ibu haruslah menggunakan berus gigi 'extra soft'.
Medela Freestyle Parts Kits
Semoga dengan entry saya kali ini dapat menambahkan semangat ibu-ibu untuk menyusukan anak sehingga 2 tahun. Belilah pam yang berkualiti dan tahan lama agar sesi mengepam ibu-ibu selesa dan menyenangkan. Ada yang berkata Medela Freestyle mahal harganya. Tetapi jika ibu-ibu bayar secara ansuran atau membayar melalui kumpulan kutu, ianya tidak mendatangkan masalah. Fikir-fikirkan ye ibu-ibu. Saya doakan ibu-ibu berjaya menyusukan anak sehingga 2 tahun penuh.

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi




Khamis, 13 Mac 2014

Peranan Bapa Dalam Menjayakan Penyusuan Susu Ibu

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Dalam menjayakan penyusuan susu ibu, peranan bapa sebagai pendorong amat diperlukan. Terutama untuk ibu-ibu yang menyusukan kali pertama. Ini kerana ibu ini tidak mempunyai pengalaman dalam penyusuan susu ibu. Jadi kepada bapa-bapa diluar sana, sokonglah isteri anda supaya anak anda mendapat khasiat yang tidak berbelah bahagi. Berikan galakan dan semangat kepada mereka andai mereka sudah kehilangan semangat untuk menyusukan anak anda.

Kepada bakal ibu-ibu diluar sana, ceritakan kepada suami anda mengapa anda mahu menyusukan bayi anda. Ceritakan juga mengenai khasiat dan kelebihan susu ibu berbanding susu formula. Terangkan juga kepada suami mengenai gadjet penyusuan. Pada saya bahagian ini amat penting kerana gadjet penyusuan agak mahal harganya. Berikan sebab-sebab yang munasabah mengapa anda mahu membeli gadjet penyusuan seperti pam, beg penyimpanan susu dan lain-lain.

Suami saya pada mulanya agak kurang menyokong penyusuan susu ibu. Ini kerana kami adalah anak sulung didalam keluarga. Tetapi saya tidak mengalah. Internetlah jawapan kepada segala persoalan saya. Saya akan membaca blog-blog penyusuan seperti Sarakids by Farah Farhan, Harlinda Halim, Duniasusuibu.com dan juga forum terkenal iaitu Susuibu.my. Setiap hari saya akan membaca dialam maya ini. Sekiranya saya terjumpa maklumat yang penting saya akan catatkan dalam buku catatan saya. Setelah itu, saya akan bercerita mengenai setiap maklumat yang saya perolehi dengan suami saya. Apa sahaja maklumat baru saya akan ceritakan dengan suami saya. Ini bagi memudahkan suami memahami mengenai penyusuan susu ibu. Jadi saya menyeru kepada ibu-ibu agar berceritalah dengan suami anda.

Ketika saya mahu membeli barang penyusuan, saya terangkan fungsi setiap barang tersebut kepada suami. Seperti beg untuk menyimpan susu, plastik menyimpan susu, botol susu dan lain-lain. Ini untuk memudahkan suami memahami konsep penyusuan susu ibu. Untuk pengetahuan ibu-ibu, suami adalah orang yang terdekat untuk mengajar bayi menyusu susu badan menggunakan botol. Ini bagi melatih bayi menyusu menggunakan botol ketika ibu bekerja. Jika ibu sendiri yang beri, bayi akan menolak menyusu menggunakan botol kerana bayi bau badan ibunya.

Suami juga perlu bersedia dengan 'cakap-cakap' orang sekeliling yang akan bertanya mengenai susu ibu. Antara soalan popular yang sering diajukan kepada suami saya adalah 'Banyak lagi ke susu Iqa?'. Dan suami saya akan menjawab 'Alhamdullillah. Cukup untuk Eryna'. Dan saya akan tersenyum mendengar jawapan suami saya. Saya tahu suami saya menyokong penyusuan susu ibu ini secara diam.

Dibawah ini adalah beberapa panduan untuk bapa. Ibu-ibu boleh catitkan dan bagi kepada suami.

BEBERAPA PANDUAN UNTUK BAPA

Bayi yang menyusu susu ibu, biasanya kurang mengalami masalah seperti berikut:-

  • Alahan 
  • sakit telinga (otitis media) 
  • kerap sakit teruk dan dimasukkan ke hospital 
  • cirit birit dan sembelit 
  • kerosakan gigi. 

Ini bererti anda:

  • tidak perlu kerap berjumpa doktor 
  • menjimatkan wang perbelanjaan keluarga 
  • mempunyai masa yang terluang untuk diri sendiri dan keluarga 
  • adalah lebih mudah dan tenang untuk menjaga bayi yang sihat 

Penyusuan susu ibu adalah yang terbaik untuk anak anda kerana:

  • Susu ibu mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi 
  • Susu ibu berubah mengikut umur dan keperluan bayi. 
  • Susu ibu lebih mudah dihadam. 
  • Najis bayi menyusu susu ibu lebih lembut dan kurang berbau. 
  • Susu ibu melindungi bayi daripada bakteria dan jangkitan lain.
Suami, Imam, Rakan karib saya..
Juga ayahanda kepada Aimi Eryna..
Terima kasih untuk segala sokongan dan semangat yang diberikan..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi





Rabu, 12 Mac 2014

Ibu, Saya mahu Susu Ibu..

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Alhamdullillah. Syukur pada Allah. Saya berjaya melengkapkan penyusuan secara ekslusif selama 6 bulan seperti yang digembar gemburkan. Ekslusif di sini bermaksud bayi disusukan dengan susu ibu sahaja tanpa makanan dan minuman lain seperti air kosong ataupun nestum. Selepas 6 bulan, bayi diberi makanan tambahan tetapi masih menyusu dengan susu ibu sahaja sehingga 2 tahun. Saya masih tidak memberi makanan tambahan kepada Eryna sehingga ke hari ini kerana saya percaya susu ibu cukup untuk menampung keperluan Eryna membesar. Hari ini Eryna sudah mampu meniarap dan mengesot dengan laju. Gigi pertama dan kedua Eryna juga sudah menampakkan diri. Jadi, saya masih meletak harapan yang tinggi untuk menyusukan Eryna dengan susu ibu sahaja tanpa makanan tambahan.

Saya masih pengepam tegar dipejabat. Bila pulang ke kampung juga saya bawa bersama gadjet penyusuan saya. Saya tidak mahu susu saya berkurang. Saya mahu susu saya cukup untuk Eryna. Stigma inilah yang perlu ibu-ibu terapkan dalam diri masing-masing untuk berjaya dalam penyusuan susu ibu. Jangan malas untuk mengepam. Jangan memberi banyak alasan. Kuatkan semangat untuk anakanda tersayang. Rajinkan membaca. Rajinkan bertanya.

Saya mahu bercerita sesuatu dengan anda. Ini adalah pengalaman saya sendiri. Suatu petang saya melawat seorang bayi yang berusia 2 bulan. Sebelum melawat saya telah menyusukan Eryna kerana tidak mahu Eryna meragam di rumah orang. Ketika saya memangku bayi tersebut, secara tiba-tiba bayi itu menoleh dan mencari payudara saya. Alllahuakbar. Serasa mahu menangis ketika itu. Anda bayangkan, bayi berumur 2 bulan mencari payudara orang yang baru pertama kali berjumpa. Apa perasaan anda. Ketika inilah saya terfikir bahawa bayi mampu menghisap susu. Ini kerana bayi mempunyai deria bau yang kuat.

Terdapat seorang rakan saya yang mahu menyusukan anak tetapi susunya sedikit. Sudah melakukan pelbagai cara tetapi susu tidak mencukupi untuk anaknya. Tetapi rakan saya ini tidak berputus asa dengan mudah. Diberi juga susu badan walaupun sedikit. Tetap juga mengepam walaupun hasil tidak banyak. Terus terang saya katakan, saya kagum dengan kamu wahai sahabat. Teruskan usahamu. Ada juga ibu yang malas untuk mengepam dan akhirnya susu berkurangan. Ini adalah antara senario yang berlaku disekeliling saya.

Ibu-ibu sekalian, perlengkapkanlah dirimu dengan ilmu sebanyak banyaknya agar anda berjaya dalam penyusuan susu ibu ini. Susu ibu ini bukan hanya selak baju dan suakan payudara kepada bayi. Banyak lagi yang ibu-ibu perlua ambil tahu. Seperti lekapan yang betul, nursing bra dan berbagai lagi. Ingatlah susu ibu adalah hak anak anda. Buanglah sikap malas anda. Selalulah bertanya kepada mereka yang berjaya menyusukan anak. Sertailah kumpulan penyusuan di Facebook.

Selamat berjuang sahabat sekalian. Marilah kita bersama-sama memartabatkan penyusuan susu ibu ini. Kembalilah kepada fitrah kejadian manusia yang mahu disusui dengan susu ibu..



Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi

Selasa, 11 Mac 2014

Pam susu (Breastpump)

Assalamulaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Dalam menjayakan penyusuan susu ibu terutama bagi ibu-ibu yang bekerja, pam susu adalah satu gadjet penyusuan yang amat penting. Ini untuk memastikan bayi mendapat khasiat susu ibu walaupun ditinggalkan selama 8 jam sepanjang ibu bekerja. Entry kali ini akan menekankan betapa pentingnya ibu-ibu membeli pam susu sebelum kelahiran lagi.

Apabila bayi dilahirkan, hisapan bayi merupakan ransangan untuk mengeluarkan susu. Ketika ini pam susu tidak perlu digunakan lagi. Ibu-ibu harus memberi susu secara terus kepada bayi. Mengikut pengalaman saya, susu matang akan mula keluar di hari ketiga kelahiran. Waktu ini payudara akan mengalami pembengkakan yang amat kerana susu dihasilkan dengan banyaknya. Ketika inilah pam susu amat berguna. Susu yang diperoleh mungkin tidak banyak, tetapi ia membantu untuk mengeluarkan susu dari payudara untuk melegakan bengkak susu.

Terdapat berbagai jenis pam susu dipasaran. Ada manual pam, single pump dan juga double pump. Apa perbezaan ketiga jenis pam ini. Dibawah ini saya senaraikan perbezaannya.
  • Manual Pump - Merupakan pam susu yang dioperasikan secara sendiri oleh ibu. Kebanyakkan pam jenis ini digunakan sebagai pam kedua. Antara jenama yang popular adalah Avent Manual Pump dan juga Medela Harmony. Harga dalam lingkungan RM100 ke RM200.

Philips AVENT Comfort breast pump manual
Avent Manual
Medela Harmony
  • Single Pump - Merupakan pam susu yang digunakan untuk mengepam sebelah payudara sahaja untuk satu sesi mengepam. Agak kurang menjimatkan masa untuk ibu-ibu yang sibuk di tempat kerja. Menggunakan bateri dan elektrik sebagai punca kuasa. Jika ibu-ibu mahu menggunakan pam jenis ini, saya nasihatkan agar ibu-ibu membeli milk collector yang bertindak sebagai penakung susu dipayudara sebelah sementara ibu-ibu mengepam dipayudara satu lagi. Ini kerana ketika mengepam disatu payudara, payudara sebelah akan mengeluarkan susu. Sayang jika dibiarkan keluar begitu sahaja. Kadangkala boleh mendapat 1-2oz ketika menggunakan milk collector. Antara jenama pam yang terkenal seperti Medela Swing, Avent Single Pump, Tomme Tippee Single Pump  dan Spectra. Harga dalam lingkungan RM400-RM600.

Avent Single Pump
Medela Swing
Medela Milk Collector

  •  Double Pump - Merupakan pam yang mengepam kedua-dua payudara sekaligus dalam satu masa. Amat menjimatkan masa terutama untuk ibu-ibu yang sibuk dan selalu keluar pejabat. Jadi, tiada alasan untuk ibu-ibu yang sering keluar pejabat untuk ponteng mengepam. Pam jenis ini kebanyakkannya menggunakan elektrik sebagai punca kuasa. Ada juga sebahagian yang boleh menggunakan bateri samaada bateri AAA atau pun baterinya sendiri. Menurut kajian, pam jenis ini boleh meningkatkan hormon prolaktin yang bertanggungjawab untuk penghasilan susu dan juga boleh mengekalkan kuantiti susu untuk jangka masa yang lama. Antara pam yang mendapat perhatian adalah Medela Freestyle, Spectra M1, Autumz Passion, Medela Swing Maxi dan berbagai lagi. Harga untuk pam jenis ini dalam lingkungan RM500-RM1800. Bergantung kepada kemampuan pam tersebut. Walaupun harganya agak mahal, tapi ianya sangat berbaloi ya ibu-ibu. Contohnya seperti Medela Freestyle, ianya didatangkan dengan set beg untuk penyimpanan susu ibu ketika dipejabat. Nasihat saya, ibu-ibu pergilah ke kedai yang menjual barang bayi seperti Fabulous Mom untuk melihat sendiri pam tersebut. Ada juga kedai-kedai yang menjual barang penyusuan secara online yang mengadakan sistem kutu dan juga bayaran secara ansuran untuk membeli pam jenis ini. Antaranya Mamapanda Store, Mybreastpumpshop dan banyak lagi.

Medela Freestyle

Spectra M1
Melaui pengalaman saya, pam susu adalah antara aspek yang perlu ditekankan. Ibu-ibu perlu membeli pam ini sebelum kelahiran untuk menjadi penguat semangat untuk meneruskan penyusuan susu ibu. Ada juga yang berkata 'Buat apa nk beli pam susu. Membazir je. Mana tahu susu tidak ada.' Stigma inilah yang saya mahu hapuskan dalam diri masyarakat. Susu ada andai anda bersedia ya ibu-ibu. Bersedia dari segi mental dan fizikal serta sokongan dari suami. Saya sendiri membeli pam susu sewaktu bulan ke-8 kehamilan. Walaupun waktu itu saya tidak tahu susu saya akan ada atau tidak. Tetapi saya percaya setiap ibu yang mengandung ALLAH akan kurniakan susu untuk anaknya. Cuma ibu tersebut perlu berusaha memantapkan diri dengan ilmu penyusuan susu ibu sahaja. 

Sepanjang 9 bulan kehamilan, ibu-ibu hendaklah merancang kewangan dengan teliti bagi memastikan keperluan untuk penyusuan ini diambil berat. Jangan hanya menyiapkan pakaian sahaja, tetapi persiapkanlah barang penyusuan untuk mengelakkan masalah ketika berpantang. Ingat ya ibu-ibu, susu ibu ini adalah makanan utama bayi. Makanan yang memberi khasiat kepada bayi anda. Jangan ambil mudah mengenai penyusuan susu ibu. Rajinkan membaca dan bertanya. Sebarang pertanyaan boleh sms/whatsup saya di 0137793014. Insyaallah saya akan membantu ibu-ibu. Marilah memartabatkan penyusuan susu ibu..

Klik SINI untuk melihat Pakej Single BreastPump. 

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi




Khamis, 6 Mac 2014

Doa dan Zikir untuk Ibu Menyusu

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Dalam islam doa amat ditekankan supaya kita meletakkan pengharapan ke atas ALLAH SWT. Begitu juga dalam penyusuan. Setiap titis susu ibu yang mengalir semuanya datang dari ALLAH. Itu adalah rezeki anak dari ALLAH. Berapa oz yang ibu-ibu dapat ketika mengepam itulah rezeki anak untuk hari itu. Jangan membanding kuantiti susu yang ibu-ibu peroleh dengan ibu-ibu yang lain. Setiap orang rezekinya sudah ditentukan. Cuma kita boleh berdoa semoga rezeki susu untuk anak kita cukup untuk pembesarannya.

Antara doa dan zikir yang boleh diamalkan :

  • Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kehidupanku, banyakkanlah susuku untuk bayiku, dan permudahkanlah perjalanan penyusuanku agar dapat menuruti segala yang telah Engkau syariatkan. Ya Allah, seberapa banyak susu yang aku perolehi hari ini, penuhilah ia dengan rahmatMU dan keberkatan disisiMU. Semoga dengan keberkatanMU, susu yang sedikit menjadi banyak dan kenyang untuk anakku. 
(Sambil membaca doa ini letakkan tangan pada payudara dan doa semoga Allah menyepurnakan penyusuan selama 2 tahun)

  • Zikir Ya Mattin sebanyak 70x pada setiap malam dan subuh. Hembuskan pada air dan dibuat minum.
  • Membaca surah Al-Hujurat dan surah Al-Kauthar. Kedua surah ini dijadikan amalan ketika ibu mengandung dan boleh diteruskan selepas kelahiran dengan niat semoga Allah memurahkan rezeki anak.
  • Membaca ayat dari surah Al-Baqarah, ayat 60.


Maksud ayat : " Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman : "Pukullah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air, Sesungguhnya tiap-tiap satu puak (diantara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan kami berfirman) : " Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.

  • Membaca ayat 72-73 dari Surah Yaasin

  • Amalkan Solat Sunat Dhuha. Berdoalah disujud yang terakhir.
Jika tidak berkesempatan untuk solat sunat, cukuplah sekadar berdoa dengan doa dhuha ini.

Marilah kita bersama-sama mengamalkan doa ini supaya kita sebagai ibu diberikan kekuatan untuk menyempurnakan penyusuan susu ibu selama 2 tahun. Selamat beramal ibu-ibu..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi













Rabu, 5 Mac 2014

Kelebihan Susu Ibu

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi


Pernahkah anda terfikir apa kelebihan susu ibu berbanding susu formula.
Apakah yang menyebabkan susu ibu lebih berkhasiat dari susu formula.
Mengapa susu ibu dikatakan lebih memberi khasiat dari susu formula.

Saya pasti difikiran ibu-ibu akan terlintas soalan-soalan diatas. Banyak kelebihan yang diperoleh oleh bayi yang disusukan dengan susu ibu. Malah kelebihan ini juga diperoleh oleh ibu-ibu yang menyusukan. Mari kita sama-sama lihat apa kehebatan susu ibu ini.

Faedah kepada bayi

  • Susu ibu berubah mengikut keperluan bayi semasa membesar. Ini kerana penghasilan susu akan berubah mengikut umur bayi. Dihari pertama hingga ketiga kelahiran hanya kolostrum yang terhasil. Walaupun sedikit, tetapi mempunyai karbohidrat, protein dan antibodi serta bertindak sebagai imun yang akan melindungi bayi dari jangkitan penyakit. Susu matang akan mula keluar di hari ketiga atau keempat selepas kelahiran. Ketika ini susu akan melimpah ruah hinggakan ibu-ibu akan mengalami bengkak susu. 
  • Susu ibu menggalakkan penghadaman dan penyerapan nutrien dengan lebih baik. Ini kerana terdapat beberapa bahan biologi yang menyebabkan bayi dapat menyerap nutrien dengan berkesan antaranya enzim penghadam lemak yang membantu penghadaman, protein yang membantu penyerapan zat besi dan juga laktosa yang meningkatkan penyerapan kalsium, magnesium, fosforus dan mineral yang lain
  • Kajian menunjukkan bayi yang disusukan secara ekslusif selama 6 bulan kurang dijangkiti penyakit dalam tempoh 12 bulan pertama. Ini menunjukkan susu ibu mengandungi nutrien dan bahan-bahan yang melindungi bayi dari penyakit berjangkit seperti cirit-birit, selsema, bronkoliotis dan jangkitan telinga tengah
  • Susu ibu mengandungi asid lemak seperti asid alfa-linolenik (ALA) dan asid limoleik (LA). Kedua-dua asid ini diperlukan untuk menghasilkan asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid arakidonik (AA) yang penting untuk pembesaran dan pertumbuhan bayi, terutamanya untuk pertumbuhan otak dan peransangan visual yang berkualiti. 
  • Susu ibu akan mengurangkan kemungkinan mengalami elergi. Ini kerana simptom-simptom alaergi berpunca dari tindakbalas imun bayi terhadap susu formula. Bayi yang menyusu susu ibu akan kurang mengalami simptom alergi seperti kolik, muntah, cirit-birit atau najis berdarah, malresapan, ekzema, rintis alergik dan asma bronkiol.
  • Susu ibu menjadi pengikat kasih antara ibu dan bayi. Ini kerana bayi perlu mendengar degupan jantung ibu, merasai kehangatan tubuh ibu dan berada rapat dengan ibu. Kesemua ini sama pentingnya dengan keperluan bayi terhadap makanan.
Faedah kepada Ibu
  • Ibu akan mudah untuk kembali ke bentuk asal badan sebelum kehamilan. Ini kerana penyusuan susu ibu akan membantu membakar lemak yang tersimpan. 
  • Penyusuan susu ibu akan merembeskan hormon-hormon yang bertindak ke atas uterus (rahim), menyebabkan rahim mengecut dengan lebih cepat. Pengecutan ini dapat menghalang pendarahan selepas bersalin.
  • Penyusuan susu ibu juga dapat melindungi ibu dari penyakit barah payudara dan barah ovari serta mengurangkan risiko mendapat osteoporosis dan penyakit jantung.
  • Penyusuan susu ibu terbukti melambatkan kedatangan haid dan ini boleh membantu ibu menjarakkan kehamilan secara semulajadi.
Banyak faedah yang diperoleh oleh bayi yang disusukan dengan susu ibu. Jadi, kepada ibu-ibu yang menanti kelahiran anakanda tersayang siapkanlah diri anda dengan pengetahuan sebanyak banyaknya mengenai penyusuan susu ibu. Saya doakan agar anda berjaya dalam menjayakan penyusuan susu ibu..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi


Isnin, 3 Mac 2014

Nipple Cream (Krim untuk Puting Luka)

Assalamulaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Nipple cream merupakan salah satu benda penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Ini kerana hampir kesemua ibu akan mengalami masalah puting luka terutama ibu-ibu yang mengandung anak sulung. Jadi entry kali ini saya akan menceritakan mengenai nipple cream ini.

Saya mula mengalami masalah puting luka ini dihari pertama kelahiran Eryna. Ianya berlanjutan hinggalah ke hari ke-10 berpantang. Bayangkan betapa lamanya saya menganggung kesakitan itu. Ini kerana saya tidak membuat persediaan untuk masalah ini. Mulanya saya ingat hanya sekejap sahaja. Selepas selesai menyusukan Eryna saya akan sapukan air susu di bahagian yang luka itu. Tetapi tidak pulih juga. Saya google dan kebanyakkannya mengatakan dengan meletak air susu akan pulih. Saya cuba lagi dan tidak berjaya. Hinggakan pada satu tahap saya tidak mahu menyusukan Eryna di sebelah yang sakit. Masalahnya Eryna pula tidak puas menghisap susu.

Akhirnya saya minta ibu saya membelikan krim untuk puting luka iaitu Medela Lanolin Tendercare. Setelah pergi ke kedai tersebut, jurujual memberi Medela Purelan 100. Tidak mengapalah. Saya terus meletak Medela Purelan 100 tersebut. Ianya tidak menjadi dan puting saya masih sakit.

Medela Purelan 100

Saya masih takut untuk menyusukan Eryna. Akhirnya saya terjumpa satu blog yang menjual barang Medela. Dan bermulalah perkenalan saya dengan Medela Lanolin Tendercare. Dan Alhamdullillah, puting saya yang luka itu sembuh selepas 2 hari. Rupanya terdapat perbezaan antara Medela Purelan 100 dengan Medela Lanolin Tendercare ini. Dibawah ini merupakan jawapan perbezaan kedua krim ini.
Tendercare is for Sensitive Nipple. So its good even for normal nipple sbb dia effective. And berbanding purelan, Tendercare Lanolin got beta-glucan so that any cracked will heal fast,mcm 'glue', InsyaAllah. And I've tried Purelan 100 before, memang x menjadi, so Aja tried Tendercare Lanolin and works much better and faster. though its depends on people jugak la. Mcm ubat juga..  
(Petikan dari blog mybreastpumpshop.com)
Bagi memastikan keberkesanan Medela Lanolin Tendercare ini, ianya didatangkan dengan Medela Therashells. Untuk pengetahuan ibu-ibu, Medela Therashells ini boleh digunakan untuk masalah puting tenggelam. Kiranya 2 dalam 1. Medela Therashells digunakan selepas ibu-ibu meletakkan Medela Lanolin Tendercare ke atas puting yang luka. Ianya untuk melindungi puting yang luka dari terkena bra dan untuk mempercepatkan penyembuhan.

 Medela Lanolin Tendercare

Medela Therashells

 Seperti yang anda dapat lihat didalam gambar, Medela Therashells ini mempunyai lubang-lubang kecil di permukaannya. Inilah yang membantu mempercepatkan penyembuhan puting saya yang luka apabila ianya mengalirkan udara tanpa terkena pada bahagian yang luka. Jika anda pergi ke kedai menjual barang bayi atau penyusuan, anda jarang sekali melihat kedua barang ini dan saya mengalaminya. Jadi, saya menyeru kepada ibu-ibu agar membeli Medela Lanolin Tendercare ini sebelum kelahiran bayi anda lagi. Ini bagi memudahkan anda ketika mengalami masalah puting luka ketika berpantang.

Anda boleh membeli kedua-dua barang ini disini. Pemiliknya iaitu Kak Aja sangat mesra. Jangan malu-malu untuk bertanya.




Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi