Selasa, 23 September 2014

Penyusuan Eksklusif Untuk Ibu Bekerja

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Credit to Google
Alhamdullillah. Syukur pada Allah. Masih diberi kesempatan untuk menulis di blog saya ini. Mengapa penyusuan eksklusif penting untuk bayi?. Jawapannya ada di SINI. Penyusuan eksklusif hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur 6 bulan. Selepas bayi berumur 6 bulan, makanan pelengkap hendaklah diberi.

Bagaimana ibu-ibu mahu menjayakan penyusuan eksklusif walaupun telah bekerja?

1. Tetapkan masa mengepam yang sama setiap hari tanpa gagal dan malas.
Masa mengepam yang konsisten akan membantu penghasilan susu yang optimun. Ini kerana badan kita akan menghantar signal ke otak bahawa pada waktu itu susu akan dikeluarkan. Jadi penghasilan susu akan dilakukan hingga ke tahap paling optimum.

2. Sediakan perkakas mengepam yang secukupnya agar kita bersedia.
Antara alatan mengepam yang diperlukan adalah pam susu, botol simpanan susu, cooler bag, ais penyejuk dan plastik simpanan susu. Mengapa ini semua penting?. Ini bagi memastikan kita seronok dan gembira untuk mengepam. Bila kita bersedia untuk mengepam, susu akan terhasil dengan gembira juga. Belilah semua alatan mengepam ini sebelum ibu-ibu masuk pejabat. Jangan pula bila dah masuk pejabat baru terhegeh-hegeh nak beli. Seeloknya beli sebelum bersalin lagi. Ketika cuti bersalin ambil masa yang ada itu untuk membiasakan diri dengan mengepam dan memberi susu perahan kepada bayi. Ini bagi memudahkan ibu dan bayi membiasakan diri ketika berjauhan. Juga memudahkan pengasuh.

Credit to Google

Credit to Google

Credit to Google

Credit to Google
3. Makan dan minumlah dengan gembira tetapi bersederhana.
Ramai ibu-ibu akan cuba pelbagai jenis makanan yang boleh membanyakkan susu. Tetapi badan setiap orang itu bukankah berbeza. Jadi sebaiknya adalah makanlah makanan yang menjadi kegemaran mahupun yang mahu dimakan ketika itu. Jangan sekat pemakanan kita hanya dengan alasan kita menyusukan anak. Tidak perlu. Ini kerana ketika menyusu atau mengepam, kalori terbakar sebanyak 500kcal. Ini akan menyebabkan ibu-ibu mudah untuk berasa lapar walaupun sebelum itu sudah mengambil makanan yang berat. Makanlah dan minumlah dengan gembira. Ini yang saya pegang. Makan je semua makanan yang kita nak makan. Tetapi bersederhana. Pastikan sajian kita lengkap karbohidrat, protein dan sayuran serta buahan. Setiap kali selepas mengepam, minum air yang mengeyangkan seperti Horlicks atau Vico. Pastikan juga ibu-ibu minum air masak sekurang-kurangnya 3liter 1 hari. Jangan tinggal sajian utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

4. Berfikiran positif
Dalam menjayakan penyusuan, fikiran positif adalah perkara terpenting. Ini bagi memastikan kita sentiasa positif kerana penyusuan susu ibu mempunyai pelbagai duri dan ranjau. Sentiasalah beringat bahawa susu ibu adalah rezeki dari Allah. Jadi, jangan sesekali merungut jika susu yang diperoleh hari itu sedikit. Sedikit atau banyak itu semuanya dari Allah. Tidak perlu susu hingga penuh 1 peti ais. Cukup sekadar susu itu CUKUP untuk anak. Jika berlebih, Alhamdullillah. Susu yang kita dapat tidak sama dengan orang lain. Ini kerana badan seseorang tidak sama dengan yang lain. Jika susu yang dipam untuk hari itu tidak mencukupi, bangun malam. Buat power pumping. Tambahkan sesi mengepam. Dengan syarat kita sentiasa positif. Positif dan sentiasa positif.

5. Ilmu
Rajin-rajinkan sentiasa mencari ilmu mengenai penyusuan susu ibu. Tidak kira sama ada melalui internet atau buku. Sudah banyak buku yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu mengenai penyusuan susu ibu. Saya juga memliki beberapa buku mengenai penyusuan susu ibu. Tidak rugi memiliki buku ini. Selain itu, ibu-ibu juga boleh berkongsi pandangan dan masalah dalah beberapa kumpulan yang ada dalam Facebook. Antaranya kumpulan di FB yang saya sertai adalah Pumponthego Breastfeeding Comunity. Jika kita berada dalam lingkungan mereka yang menyusukan bayi, secara tidak langsungnya kita dapat menambah ilmu pengetahuan disamping menambah kenalan baru. Kita mahu berjaya menyusukan bayi. Jadi kita mesti berada di dalam lingkungan mereka yang berjaya menyusukan bayi.

6. Berdoa
Doa adalah senjata paling utama dalam hidup kita. Betul?. Jadi sentiasa berdoa semoga perjalanan penyusuan kita dipermudahkan dan berjaya hingga sehingga anak kita berusia 2 tahun. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Minta juga suami doakan kita. Ibu-ibu boleh lihat doa yang boleh diamalkan di SINI.

7. Dapatkan Sokongan
Dapatkan sokongan dari suami, ibubapa kita dan ibubapa mertua. Ceritakan niat kita untuk menyusukan bayi hingga 2 tahun. Secara tidak langsung mereka akan sentiasa menyokong. Sentiasa ceritakan kebaikan susu ibu kepada suami. Ini kerana suami adalah tulang belakang kita. Insyaallah perjalanan penyusuan kita akan dipermudahkan bilamana suami menyokong.

Ini adalah sebahagian dari elemen-elemen penting untuk menjayakan penyusuan bilamanan ibu sudah kembali ke pejabat. Jangan putus asa. Jangan mudah mengalah. Sentiasa belajar dan mahu belajar ilmu baru. Jangan malu untuk bertanya. Jika terdapat permasalahan dalam menjayakan penyusuan, cari rakan atau kumpulan sokongan bagi mendapat nasihat yang betul. Semoga kita semua kuat dalam menyusukan anak syurga kita.

Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi

Sabtu, 20 September 2014

Bercuti di Felda Residence Tanjung Leman

Assalamualaikum wbt.

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Pada 31 Ogos 2014 dan 1 September 2014 yang lalu, saya bersama suami dan puteri telah pergi bercuti di Felda Residence Tanjung Leman. Kawasan Tanjung Leman ini terletak di daerah Mersing Johor. Perjalanan dari Pasir Gudang memakan masa 2 jam perjalanan kerana hujan lebat ketika dalam perjalanan.

Kami tiba tepat jam 2.30 petang. Setelah selesai urusan check-in kami terus ke bilik. Biliknya sangat selesa. Ada peti ais lagi. Luas dan selesa. Selepas itu, kami berehat sebentar sementara menunggu waktu asar. Kami mahu membawa Eryna ke pantai kerana inilah kali pertama Eryna datang pantai.
Waktu petang itu kami mengambil peluang untuk berjalan di sekitar Felda Residence ini. Banyak kemudahan lain seperti kolam renang, kemudahan sukan air, gymnasium disediakan untuk para pengunjung. 

Pada saya, Felda Residence Tanjung Leman amat selesa untuk percutian bersama keluarga. Andaikata ada yang mahu menganjurkan hari keluarga di sini, ada pakej yang disediakan. Dibawah ini ada laman web yang boleh anda layari sekiranya anda berminat untuk datang. 

No Telefon : 07-7911155

Jikalau anda berminat untuk datang, pastikan anda telah menempah bilik hotel terlebih dahulu sebelum datang. Ini kerana ketika saya datang, bilik hotel telah penuh, Menurut kakitangan yang bertugas, ketika cuti umum dan cuti sekolah kebanyakkan bilik telah ditempah awal. Anda boleh booking menerusi Agoda.com atau telefon terus ke nombor di atas. 

Dikawasan sekitar Felda Residence ini terdapat banyak chalet lain. Ada juga pantai terbuka untuk orang ramai yang mahu mandi manda. Di sini juga terdapat jeti yang menuju ke Pulau Sibu.

Sekian coretan untuk kali ini.
Semoga bermanfaat untuk semua.

Gambar-gambar di Felda Residence Tanjung Leman
















Ahad, 7 September 2014

Jurnal Penyusuan - 1 tahun

Assamualaikum wbt,

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Pada 17 Julai 2014, genap setahun usia Aimi Eryna binti Mohd Izzul Afandi. Masih suka susu ibu. Kuantiti yang diminum juga tidak berkurang walaupun sudah makan makanan pelengkap. Alhamdullillah susu saya juga masih ada. Masih cukup untuk Eryna.

Kali ini saya akan berkongsi mengenai perjalanan penyusuan saya selama setahun. Berbagai cabaran dan dugaan saya lalui selama setahun ini. Setiap ibu-ibu ada masalah tersendiri. Walaubagaimanapun semua masalah ada penyelesaian. Kita yang mencari penyelesaian tesebut. Berbekalkan ilmu dan semangat Insyaallah masalah tersebut pasti dapat diselesaikan. Letakkan pergantungan kita kepada Allah SWT. Allah akan tolong dengan mudah sekali.

Sebelum saya melahirkan Eryna, saya terbaca 1 artikel di laman web susuibu.com yang membincangkan mengenai memberi susu ibu secara ekslusif selama 2 tahun. Maksud ekslusif adalah anak diberi susu ibu sahaja selama 2 tahun tanpa makan dan minuman lain. Waktu itu saya terdekat untuk memberi Eryna susu ibu secara ekslusif selama yang saya mampu walaupun saya bekerja. Alhamdullillah saya mampu memberi susu secara ekslusif kepada Eryna selama 8 bulan, walaupun target saya adalah hingga 1 tahun. Nampak tak ibu-ibu sekalian jika kita telah meletakkan target, kita akan sedaya untuk melaksanakannya walapun berdepan pelbagai masalah.

Mungkin ibu-ibu berkata 'Alah, susu dia banyak. Boleh lah beri susu sahaja.' 
Mungkin juga begini. 'Mesti dia duduk rumah. Boleh lah'

Wahai ibu-ibu yang saya sayangi. Saya bekerja mengikut waktu pejabat iaitu dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Adakah susu banyak itu hingga penuh 1 peti ais beku?. Atau susu banyak itu dengan mengepam dapat berbotol-botol?. Pada saya susu perlu cukup untuk anak. Jika melebihi keperluan anak itu adalah rezeki yang Allah bagi untuk anak itu, Mungkin boleh dikongsi dengan anak-anak yang lain.

Saya pernah mengalami kemorosotan susu. Dari berapa ke berapa biarlah saya sahaja yang tahu. Tapi hasil yang diperoleh ketika itu amat ketara perbezaannya. Tetapi saya tidak patah semangat. Saya gali ilmu dan bertanya kepada mereka-mereka yang berpengalaman bagaimana mahu mengatasi masalah ini. Saya buat dan Alhamdullillah saya berjaya. Kata kuncinya adalah usaha dan usaha tanpa jemu. Apa yang saya buat adalah dengan menambah sesi mengepam di pejabat dan ketika dirumah saya buat tanderm-pumping dengan Eryna. Saya akan buat entry khas untuk tanderm-pumping ini. 

Saya juga pernah mengalami masalah mastitis iaitu saluran susu tersumbat. Ketika megalaminya payudara tersangat sakit hingga saya demam. Saya masih susukan Eryna dan mengepam seperti biasa. Tetapi masih sakit. Pada masa itu saya tidak tahu saya mengalami mastitis. Saya ingatkan bengkak payudara yang biasa. Hinggalah keesokkan harinya payudara saya masih sakit. Saya berjumpa doktor dan ketika itulah saya tahu saya mengalami mastitis. Perasaan ketika itu amatlah takut. Saya takut kalau saya kena berhenti menyusukan Eryna. Alhamdullillah dengan penerangan doktor saya masih boleh menyusukan seperti biasa. Tetapi jika masih sakit selepas makan ubat saya mesti pergi berjumpa doktor semula. Ketika dalam fasa pemyembuhan, sekali lagi saya mengalami kemerosotan susu. Ini berkait dengan ubat yang saya ambil ketika itu.

Itu adalah sedikit sebanyak masalah yang saya hadapi ketika menuju 1 tahun penyusuan susu ibu. Untuk menuju ke 2 tahun mungkin masalah yang berbeza saya akan hadapi. Siapa tahu kan?.
Sebesar mana masalah itu ada penyelesaiannya. Hadapi lah dengan tenang. Lengkapkan diri dengan ilmu secukupnya agar kita tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang datang.

Pada saya yang paling penting dalah penyusuan susu ibu adalah pemikiran ibu itu. Jika ibu sentiasa positif, Insyaallah ibu akan kuat untuk menyusukan anak. Jangan ada kata-kata seperti SUSU SIKIT, SUSU TAK CUKUP dalam fikiran ibu-ibu. Berapa yang kita dapat dalam sehari itu bersyukurlah. Syukur banyak-banyak pada Allah. Jangan merungut apa yang Allah bagi. Nak banyakkan susu ada caranya. Ada ilmunya. Ada kaedahnya. Insyaallah saya akan cerita di entry akan datang.

Sekian.
Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi