Teks : Nor Atiqah Hamidi
Penyusuan susu ibu bermula sejurus kelahiran. Segala ilmu yang dicari dan digali akan dipraktikkan pada masa ini. Mengikut pengalaman saya, bayi akan diberi setelah segala urusan selesai. Ini bagi memastikan ibu bersedia untuk menerima bayi. Ketika didalam dewan bersalin, gambar mengenai penyusuan susu ibu dipaparkan dengan jelas agar ibu terus memberi susu selepas kelahiran. Apabila Eryna diberi kepada saya, saya sudah bersedia untuk menyusuinya. Alhamdullillah, Eryna mencari puting sendiri setelah saya meletakkan Eryna di dada. Bermulalah penyusuan susu ibu untuk Eryna hingga ke saat ini.
Untuk ibu-ibu yang hamil pertama kalinya, saya nasihatkan anda agar mencari ilmu penyusuan dengan sebanyak mungkin. Ini kerana kurangnya pengetahuan dan pengalaman mungkin menyebabkan kita hilang punca. Mengikut pengalaman saya, kebanyakkan hospital kerajaan adalah hospital rakan bayi. Apakah hospital rakan bayi?. Hospital rakan bayi adalah hospital yang menggalakkan ibu-ibu memberi susu badan. Bahkan jika tidak dibenarkan membawa botol susu ke dalam wad.
Jadi, selepas bayi diberikan kepada kita, mulailah menyusu dengan tenang. Bayi akan mencari puting ibunya sendiri. Ini kerana deria bau bayi amat kuat ketika ini. Nikmatilah saat indah tersebut bersama bayi agar penyusuan susu ibu berjalan lancar seiring dengan niat dan azam yang kuat. Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu-ibu selepas kelahiran bayi.
- Susuilah bayi seawal yang mungkin. Lebih elok sekiranya diberi susu dalam masa 1 jam selepas kelahiran bayi.
- Jauhi susu formula. Lebih baik andaikata kita tidak membeli langsung susu formula. Ini bagi memastikan kita bersemangat untuk menyusukan bayi. Jauhi juga air masak dan makanan pelengkap yang lain. Untuk pengetahuan ibu-ibu, air masak tidak boleh diberi jika bayi berumur 6 bulan kebawah. Hanya diberi susu ibu sahaja. Ini untuk mengelakkan gangguan kepada bekalan susu ibu.
- Biarkan bayi menentukan masa menyusunya sendiri. Ada bayi yang mahu menyusu setiap 2 jam. Ada juga yang mahu menyusu setiap 1 jam. Setiap bayi tidak sama dengan bayi yang lain. Keperluan susu juga berbeza. Jadi susuilah sekerap dan semahu bayi itu sendiri.
- Memberikan kedua-dua belah payudara setiap kali sesi penyusuan diawal-awal kelahiran bayi. Ini kerana bekalan susu setiap payudara tidak sama. Ianya bergantung kepada kekerapan memberi susu kepada bayi.
- Biarkan bayi menghabiskan hisapan susu pada sebelah payudara pada satu-satu masa sebelum memberi payudara yang satu lagi. Ini bagi memastikan bayi mendapat susu akhir (hindmilk) diakhir penyusuan. Bayi akan melepaskan puting ibunya dengan sendiri apabila sudah kenyang. Ada juga bayi yang akan tertidur semasa menyusu. Itu menunjukkan bayi sudah kenyang.
- Susukan bayi sebanyak 8-10 kali sehari termasuk ketika malam. Jika bayi tidak menyusu selepas 3 jam, kejutkan bayi. Pastikan bayi menyusu setiap 2 jam.
- Hindari puting kosong (pacifier). Puting akan menyebabkan kita tidak peka terhadap bayi yang lapar. Dan juga menyebabkan penyusuan mengikut permintaan akan terganggu disebabkan keasyikkan bayi menghisap puting. Ada juga bayi yang menolak untuk menyusu secara terus disebabkan puting kosong. Jauhi puting kosong.
- Makanlah dan minumlah makanan yang berkhasiat agar kita boleh menghasilkan susu yang terbaik untuk anak. Pastikan ibu-ibu meminum air masak lebih dari 3 liter sehari untuk memastikan badan tidak kekurangan air.
Sematkan dalam hati dan jiwa ibu-ibu untuk menyusukan anak selama 2 tahun. Insyaallah segala cabaran dan rintangan dapat ditempuhi. Jangan mengalah dengan susu formula walaupun kita menghadapi masalah kekurangan susu. Banyak cara untuk membanyakkan susu. Saya akan ulas di entry yang akan datang. Marilah memartabatkan penyusuan susu ibu.
Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi
Memang susu badan masa mula2 keluar adalah sikit, so kene banyak kerap bagi susu, seronok detik menyusu badan. Rasa baby dekat dengan kita.
BalasPadamIngin bekerja hanya di rumah http://dalilayusof.blogspot.com/2014/03/kelas-online-belajar-hanya-di-rumah.html
Perlukan kereta sewa dan MPV http://dalilayusof.blogspot.com/search/label/Kereta%20Sewa