Rabu, 26 Februari 2014

Nursing Bra (Bra menyusu)

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Penyusuan susu ibu sangat mudah jika ibu itu bersedia dari segi mental dan fizikal. Salah satu persediaan yang amat penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu ini adalah bra menyusu atau nursing bra. Ini amat memudahkan ibu-ibu menyusukan anak tanpa perlu membuka bra seperti bra harian yang biasa dipakai.

Terdapat berbagai jenama yang mengeluarkan nursing bra. Antaranya Fabulous Mom, Autumz, Avon, Scarlet dan berbagai lagi. Semuanya dalam purata harga yang mampu dimiliki. Saya mengesorkan agar ibu-ibu membeli nursing bra ini ketika di termister akhir kehamilan. Ini kerana ketika itu payudara telah membesar dan itulah saiznya selepas kelahiran.

Apa perbezaan nursing bra dengan bra biasa?. Itu adalah persoalan yang berlegar di minda ketika saya hamil dahulu. Perbezaan yang utama adalah bukaan hadapan bra tersebut. Terdapat klip penyangkut di bahagian atas bra. Ini memudahkan ibu-ibu dengan membuka klip tesebut untuk menyusukan bayi. Ianya berguna juga ketika ibu-ibu mahu mengepam. Hanya buka bukaan depan itu sahaja.

Contoh nursing bra yang terdapat dipasaran. 
Anda dapat lihat terdapat klip diatas bra tersebut.

Kenapa saya kata nursing bra ini amat penting?. Ini kerana ianya memudahkan penyusuan dan juga mengepam. Manusia suka sesuatu yang mudah bukan. Ianya berguna juga untuk menjadikan pump anda freestyle iaitu tidak perlu dipegang. Hanya sangkut di nursing bra dan anda tunggu hingga susu penuh.

Selain itu juga, nursing bra ini juga penting ketika anda mengalami puting luka. Anda boleh membuka bahagian hadapan bra tersebut ketika bayi tidak menyusu bagi membolehkan pengaliran udara disamping mengelakkan puting yang luka terkena bra. 

Penggunaan nursing bra ini amat saya galakkan. Selepas bersalin teruslah memakainya. Bawa nursing bra ini ke hospital bersama-sama barang lain. Belilah nursing bra ikut kemampuan anda. Terdapat banyak kedai-kedai online yang menjual nursing bra ini. Ada juga yang menjual di facebook. Kebanyakkan kedai yang menjual barang penyusuan akan menjual nursing bra. Jadi, ibu-ibu sekalian rajin-rajinkan jari jemari anda untuk mencari nursing bra yang anda kehendaki. Buat penilaian sebelum membeli. Bertanyalah kepada orang yang menyusukan bayi mengenai nursing bra ini. Jangan malu dan segan ye. Mereka akan suka untuk menjawab. Selamat membeli belah.

Salam sayang..
Nor Atiqah Hamidi

Selasa, 25 Februari 2014

Pengalaman Penyusuan Saya

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Alhamdullillah. Syukur pada ALLAH atas kurniaanya. Hari ini puteri saya, Aimi Eryna berusia 7 bulan 3 hari. Masih minum susu ibu. Masih manja dengan ibu dan ayah. Hari ini saya akan berkongsi pengalaman saya menyusu Eryna secara ekslusif hingga ke hari ini. Semga dapat menjadi pembangkit semangat ibu-ibu semua.

Saya bersalin di Hospital Sultan Ismail, JB secara normal. Sejurus selepas selesai urusan didalam dewan bersalin, Eryna diberi kepada saya untuk disusukan. Saya letak didada dan ajaibnya dia pandai mencari puting dan mula menghisap. Saya masih kekok memegang dan menyusui Eryna. Saya bertanya kepada jururawat yang bertugas adakah betul lekapan Eryna kerana saya merasa sakit dibahagian puting. Jururawat tersebut membetulkan posisi menyusu dan mengajar saya menyusu secara baring.

Keesokkan harinya, saya dibenarkan pulang dan saya terus pulang ke rumah ibu di Kluang. Ketika itu, puting sebelah kiri amatlah sakit. Hinggakan saya tidak mahu memberi Eryna hisap di payudara sebelah kiri. Saya melayari internet dan bermacam petua saya jumpa. Antaranya letak air susu sendiri lepas menyusukan. Tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih. Saya tidak mahu. Saya mahu lekas sembuh. Lalu saya melayari web mybreastpumpshop.com kerana pemiliknya iaitu Kak Naza ada menjual krim untuk puting luka. Tanpa berlengah saya terus membeli Medela Lanolin Tendercare setelah membaca mengenai krim tesebut. Alhamdullillah, puting saya yang luka itu sembuh sehari selepas saya menggunakkannya.

Ketika dalam pantang lagi saya sudah mula mengepam. Hasilnya tidak banyak untuk sekali sesi mengepam. Kadangkala 2oz, 3oz malah pernah 1oz. Tetapi saya tidak patah semangat. Ini kerana ketika ini bayi menyusu secara terus dengan ibu. Jadi apabila di perah susu tidak banyak. Saya mempelajari teknik tandem nursing iaitu menyusukan secara serentak. Dalam kes saya, saya mengepam disebelah payudara manakala sebelah payudara Eryna hisap. Hasilnya meningkat setiap kali saya pam. Ini salah satu cara untuk meningkatkan susu yang berjaya saya buat. Ibu-ibu juga boleh buat.

Saya mula mengajar Eryna minum EBM iaitu susu perahan yang dibekukan dalam peti ais ketika dia berumur sebulan. Alhamdullillah Eryna boleh terima susu perahan dan suami saya yang susukan dia. Jika ibu yang susukan, bayi akan menolak kerana bayi bau badan ibu. Ketika ini saya sudah menyiapkan keperluan penyusuan untuk dibawa ke tempat kerja seperti cooler bag, stroge plastic, stroge bottles dan warmer untuk pengasuh Eryna.

Setelah 60 hari bercuti, saya masuk ke pejabat dengan membawa pam susu. Agak pelik mulanya kerana semua orang bertanya saya buat apa. Saya tersenyum dan menjawab 'saya pam susu'. Soalan yang kerap ditanya adalah 'banyak lagi susu awk?'. Alhamdullillah susu saya masih cukup untuk Eryna. Walaupun tidak makan makanan lain dan hanya bergantung pada susu ibu, Eryna sihat dan membesar seperti bayi lain. Saya tidak perlu risau dengan masalah seperti sembelit yang kerap berlaku selepas bayi makan makanan tambahan. Walaupun bayi perlu diperkenalkan dengan makanan selepas 6 bulan, saya berpegang teguh kepada saranan Al-Quran untuk menyusukan sehingga 2 tahun penuh tanpa makanan lain.

Saya masih mengepam hingga ke hari ini. Ini untuk memastikan susu saya sentiasa cukup untuk Eryna. Jika saya terlepas satu sesi mengepam, saya akan mengepam dirumah pada malam atau saya akan tandem nursing dengan Eryna. Alhamdullillah sokongan suami merupakan kekuatan saya dalam penyusuan susu ibu. Terima kasih suamiku untuk sokongan yang tidak berbelah bahagi. Untuk Eryna, ibu akan terus memberi susu ibu tanpa makanan lain hingga 2 tahun.

Perjalanan penyusuan saya masih jauh. Masih banyak lagi cabarannya. Insyaallah dengan tekad dan semangat saya akan berusaha untuk menjayakan penyusuan 2 tahun tanpa makanan lain untuk Eryna. Sama-samalah kita memartabatkan penyusuan susu ibu.

Salam sayang,
Nor Atiqah Hamidi

Ahad, 23 Februari 2014

Percutian ke Bali, Indonesia

Assalamulaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Bali. Satu tempat pelancongan yang menarik perhatian masyarakat dunia. Majoriti penduduk beragama Hindu. Entry kali ini saya akan menceritakan pengalaman perjalanan saya dan suami ke Bali pada tahun 2012.

Kami pergi ke Bali selama 4 hari 3 malam. Menurut suami, belum puas berjalan disana kerana banyak tempat tidak sempat dilawati. Insayaallah ada rezeki mungkin akan kembali. Kami pergi dengan menggunakan pesawat Jetstar di Lapangan Terbang Changi, Singapura. Ini kerana rumah kami di Johor dan akan memakan masa untuk kami pergi ke KLIA. Sebelum bertolak saya sudah selesaikan urusan penginapan dan pengangkutan dengan pihak hotel. Kami memilih untuk menyewa kereta kerana ingin bergerak sendiri.

Dihari pertama kami hanya berjalan sekitar Pantai Kuta sambil melihat matahari terbenam. Suasana agak menarik. Untuk makluman anda, waktu Bali sama dengan waktu Malaysia. Cuma waktu solat agak awal kerana matahari terbit jam 4 pagi. Jam 6 sudah masuk syuruk disana. Amat penting untuk mengetahui masuk waktu solat kerana masjid agak sukar dicari di Bali.


Matahari terbenam
lokasi : Pantai Kuta

Hari kedua bermula apabila kami mengambil keputusan untuk pergi ke Gunung Kintamani. Salah satu tempat pelancongan yang menarik di Bali. Perjalanan memakan masa yang agak lama kerana lokasi yang agak jauh dari bandar Kuta. Gunung Kintamani ini adalah gunung berapi yang sudah lama mati. Tetapi saya agak kurang senang dengan penjual-penjual disana. Mereka akan mengikut ke mana sahaja anda pergi bahkan ada yang menahan di pintu kereta. Pesan saya, buat tidak tahu sahaja dengan mereka. Cuaca di Gunung Kintamani ini panas tapi hawa udaranya sejuk. 

Pemandangan Gunung Kintamani
Lokasi : Gunung Kintamani

Selepas makan tengahari di salah sebuah restoran, kami mula berjalan pulang. Dalam perjalanan tersebut kami lalu di satu lagi tempat pelancongan yang menarik iaitu Ubud. Kawasan ini terkenal dengan tanaman padi bukit. Pemandangan yang sangat menarik dan jarang diperoleh di Malaysia. Malanganya kami tidak singgah kerana terlalu banyak kenderaan di tepi-tepi jalan. Pemandangan tersebut terakam di ingatan sahaja. Seterusnya kami pergi ke Pasar Sukowati. Niat dihati ingin membeli cenderamata untuk kenalan dan keluarga. Ketika kami sampai kebanyakkan kedai sudah mahu tutup. Jadi kami singgah di satu kedai sahaja.

Berbagai t-shirt dijual
Lokasi : Pasar Sukowati

Hari ketiga kami bersarapan secara bufet di tepi kolam. Suasananya amat menenangkan. Menurut pihak hotel, ianya akan dilakukan sekiranya orang yang menginap melebihi 75%. Makanan bercirikan Bali. Sedap dan lazat. Untuk hari ketiga ini kami mengambil keputusan untuk menyewa motosikal memandangkan lokasi yang ingin dilawati sekitar Kuta sahaja. Untuk pengetahuan anda, masalah kesesakan lalu lintas amat teruk diBali. Jalan raya kecil tetapi banyak kenderaan. Sebab itulah kami menyewa motorsikal. Lokasi kali ini adalah Pura Luhur Tanah Lot. Kawasan ini merupakan kuil tetapi terletak di tepi pantai. Ramai pelancong di sini. Kedai-kedai menjual cenderamata juga banyak. Kami sempat berbual dengan seorang penduduk tempatan. Menurutnya, ketika bulan 3 masyaraat Hindu akan datang ke kuil ini selama seminggu untuk beribadat. Tempat ini merupakan kawasan suci mereka.

Kuil di atas batu. Jika air surut, kita boleh pergi ke sebelah sana.
Lokasi : Tanah Lot

Pada sebelah petangnya kami pergi ke Pantai Jimbaran untuk makan malam. Malam sebelumnya kami hanya makan di hotel kerana makanan halal agak sukar diperoleh. Untuk kali ini kami memilih untuk makan makanan laut. Ianya Halal. Lokasi agak jauh dari Kuta. Jadi kami bertolak awal kerana ingin menikmati keindahan matahari terbenam. Pantai Jimbaran ini terkenal dengan kedai makan yang mengadap pantai. Amat menarik sekali.
\
Saya dan suami menunggu matahari terbenam
Lokasi : Pantai Jimbaran

Pada saya Bali adalah tempat menarik untuk dilawati. Tempat pelancongan dan tempat membeli belah sama banyak. Saya lebih tertarik dengan tempat pelancongannya. Semuanya dijaga dengan rapi dan mendapat sambutan. Pesan saya, jangan ikut orang tempatan sekiranya dia mengajak anda ke suatu tempat. Saya dan suami terkena apabila dia menarik lengan suami untuk ke kedai nya. Sampai dikedai, kami dipaksa untuk membeli baju tiruan dengan harga yang sama dibutik. Amat tidak lojik. Lagi satu, sebolehnya bawalah makanan dari Malaysia seperti Maggi, Sup segera atau apa-apa yang mudah kerana kedai makan halal disekitar Kuta agak sukar diperoleh. Sebolehnya, buat kajian sebelum anda ke Bali.

Semoga perkongsian saya ini menjadi panduan kepada anda yang ingin bercuti ke Bali. 

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi








Khamis, 20 Februari 2014

Kenapa saya memilih susu ibu?

Assalamualaikum wbt..

Ramai ibu-ibu sering bertanya soalan-soalan ini kepada diri sendiri. Antaranya
  • Ada ke susu badan aku ni?
  • Cukup ke susu badan untuk anak nanti?
  • Macam mana nak susukan anak nnti?
  • Ada ke orang yang berjaya susukan anak hingga 2 tahun?
  • Macam mana nak pastikan susu cukup masa pergi kerja?
Persoalan-persoalan di atas sering ditanya oleh ibu-ibu terutama yang mengandung anak sulung. Tidak semua, mungkin satu atau dua akan terdetik dibenak. Betul tak ibu-ibu?. Jadi, bagaimana kita hendak mengakis persoalan tersebut?. Saya senaraikan kenapa saya memilih susu badan untuk Eryna.
  • Saranan Al-Quran. Al-Quran menganjurkan para ibu untuk menyusukan bayi sebaik-baiknya hingga berusia 2 tahun.
" Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap. Iaitu bagi orang yang hendak meyempurnakan penyusuan itu" (Surah Al-Baqarah : Ayat 233)
  • Susu ibu adalah hak anak. Dan hak anak itu hendaklah ditunaikan. Jangan mudah menyerah kalah andai susu anda kurang dihari-hari pertama kelahirannya. Ini kerana susu akan banyak terhasil pada hari ketiga kelahiran. Dalami ilmu penyusuan susu ibu dari fasa kehamilan lagi.
  • Ikatan kasih sayang yang amat erat diantara anak dan ibu. Bayi akan berasa selesa dalam dakapan ibunya. Ini akan menyebabkan anda mengalami masalah kuranh tidur. Tidak mengapa wahai ibu-ibu. Masalah ini hanya bersifat sementara. Tidurlah semasa bayi anda tidur.
  • Jawapan saya yang teakhir ini mungkin boleh menyebabkan anda tersenyum. Penyusuan susu ibu ini menjimatkan dari segi kewangan. Maaf ye ibu-ibu. Saya memang tidak pernah membeli susu formula. Jadi, saya tidak tahu berapa harga satu tin susu formula. Ini kerana saya tidak mahu mengalah dengan susu formula andai susu saya kurang. Banyak cara dan tips yang boleh digunapakai andai susu anda merosot.
  • Saya mahu membuktikan pada masyarakat yang ibu bekerja juga boleh menyusukan anak. Ini kerana kebanyakkan ibu bekerja akan memberi susu formula ketika ibu bekerja dan memberi susu badan ketika anak dirumah. Ada juga ibu yang hanya memberi susu badan sehingga 6 bulan dan seterusnya memberi susu formula. Saya mahu ubah mentaliti ini.
Ini merupakan sebahagian dari mengapa saya memilih susu ibu. Mungkin ibu-ibu yang lain mempunyai sebab yang tesendiri. Walau apa pun sebabnya, percayalah tujuan kita hanya satu. Iaitu memberi makanan semulajadi yang terbaik untuk anak. Semoga ibu-ibu terus memberi susu badan kepada anakanda tersayang.


Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi

Rabu, 19 Februari 2014

Bagaiman Payudara berfungsi Untuk Menghasilkan Susu?

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Pernahkah anda terfikir bagaimana payudara menghasilkan susu. Sebenarnya, ketika fasa kehamilan lagi payudara telah bersiap untuk menghasilkan susu. Sebab itulah ketika hamil payudara akan menjadi lebih sensitif. Maka, tidak hairanlah jika susu mula kelihatan ketika di akhir kehamilan.

Payudara mempunyai sistemnya yang tersendiri. Mari fahami bahagian dalam payudara yang mempunyai tugas-tugas yang berlainan dalam penghasilan susu badan.
  • Alveoli. Tempat di mana susu badan dihasilkan. Alveoli merupakan kelompok-kelompok kantung kecil seakan-akan buah anggur di dalam payudara anda. Dikelilingi oleh otot-otot kecil yang menekannya untuk mengeluarkan susu masuk ke dalam duktul.
  • Duktul. Duktul ialah salur-salur kecil yang menyalurkan susu daripada alveoli ke dalam duktus susu utama.
  • Duktus susu. Ini adalah jaringan salur-salur kecil yang membawa susu daripada duktul dan alveoli terus kepada bayi. Bayangkan duktus susu anda sebagai penyedut-penyedut minuman kecil yang kesemua hujungnya terletak di puting anda dan menyalurkan susu ke dalam mulut bayi. Duktus ini membesar dan jumlahnya bertambah semasa anda hamil. Anda mungkin mempunyai kira-kira Sembilan duktus dalam setiap payudara menjelang masa anda mula menyusukan.

Anatomi bahagian payudara

Bagi membolehkan bayi menikmati susu badan, ianya akan dilepaskan daripada alveoli yang merupakan tempat susu dihasilkan. Proses ini dikenali sebagai limpahan (letdown). Apabila bayi mula menghisap, sensasi pada puting akan menyebabkan sebahagian daripada kelenjar pituitari membebaskan hormon oksitosin ke dalam aliran darah anda. Sesudah oksitosin sampai ke payu dara, ia menyebabkan otot-otot kecil di sekeliling alveoli yang dipenuhi dengan susu untuk menguncup dan mencengkam lantas membebaskan susu. Susu akan mengalir sepanjang duktus yang terletak di sebalik areola. Apabila bayi anda minum, dia menekan susu daripada duktus masuk ke dalam mulutnya. Tatkala aliran susu meningkat semasa limpahan berlaku, anda akan merasa sedikit sakit seperti mencucuk-cucuk pada payudara anda. Ketika ini susu akan melimpah keluar dari payudara anda.

Masyaallah. Indahnya ciptaan Allah. Payudara diciptakan bersama hormon agar susu boleh dihasilkan dengan banyaknya sesuai dengan keperluan dan kehendak bayi. Jadi, teruslah menyusui bayi anda hingga 2 tahun tanpa jemu. Anggaplah segala cabaran dan dugaan sebagai ujian untuk kita memberikan makanan semulajadi yang terbaik untuk anak kita. Selamat berjaya..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi






















Selasa, 18 Februari 2014

Saiz dan Ukuran T-Shirt Muslimah

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Di bawah ini merupakan jadual bagi saiz dan ukuran T-shirt Muslimah bagi setiap jenama. Sebelum anda mengisi borang tempahan, diharapkan anda memberikan saiz yang betul untuk mengelakkan kesulitan.

Selamat membeli belah.
Nor Atiqah Hamidi








T-Shirt Muslimah Terkini

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Seiring dengan peredaran masa, baju t-shirt jugak tidak ketinggalan. Jika dahulu hanya baju kurung yang digayakan, kini t-shirt juga boleh digayakan dengan menarik tanpa membelakangkan syariat. T-shirt muslimah ini boleh digayakan ketika berjalan, di pejabat mahupun ketika menghadiri kenduri. Ini kerana rekaannya yang menarik dan kainnya yang berkualiti.

Saya sendiri mempunyai pelbagai corak dan rekaan t-shirt muslimah.Rekaannya yang ringkas dan menarik memudahkan saya untuk di suai padankan dengan tudung. Ianya juga boleh dipakai dengan skirt mahupun seluar. Sesuai dengan kekangan masa saya sebagai ibu dan pekerja, t-shirt muslimah ini amat menjimatkan masa saya.

Selain itu juga, terdapat juga beberapa rekaan t-shirt muslimah untuk ibu-ibu yang menyusukan anak dengan corak dan warna yang menarik. Ianya amat menguntungkan untuk ibu-ibu yang menyusukan kerana dapat bergaya disamping memenuhi kehendak anak yang ingin menyusu di mana-mana. 

Untuk anda yang berminat untuk mendapatkan t-shirt muslimah ini, anda boleh
email saya di noratiqah.hamidi@gmail.com
message/whatsup 0137793014

Semoga dengan usaha saya yang tidak seberapa ini dapat memartabatkan fesyen wanita muslimah untuk tampil anggun dan bergaya.



Contoh T-shirt Muslimah Jenama Wafiyya

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi


Sabtu, 15 Februari 2014

Menyusukan kali pertama

Assalamulaikum wbt.

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Ketika usia kehamilan mencecah 4 bulan, saya mula mencari barang keperluan kelahiran. Pada masa ini, saya tidak mengambil kisah mengenai penyusuan susu ibu. Sehinggalah pada suatu hari, ketika melayari internet saya secara tidak sengaja menjumpai satu forum yang sangat menarik bercerita mengenai menyusukan bayi kali pertama. Setelah itu barulah saya tahu ilmu mengenai susu ibu ini hendaklah dicari bukan ianya datang sendiri.

Pernahkah anda terfikir bahawa susu ibu adalah perkara terpenting pada bayi yang baru dilahirkan. Bukan baju, bukan juga aksesori yang mahal. Ini kerana susu ibu adalah makanan yang membesarkan bayi dan memberi khasiat yang tidak berbelah bahagi. Jadi, saya menyeru kepada ibu-ibu diluar sana carilah ilmu mengenai susu ibu ketika dalam fasa kehamilan lagi kerana ianya tidak akan datang dengan sendirinya. Berjumpalah dengan ibu-ibu yang berjaya menyusukan anak mereka.

Saya senaraikan apa yang perlu ibu-ibu buat sebelum dan selepas kelahiran untuk menjayakan penyusuan kali pertama setelah melahirkan.

Sebelum kelahiran bayi

  • Sematkan dalam fikiran bahawa susu anda cukup untuk bayi. Jangan sesekali terlintas dalam fikiran untuk membeli susu formula, botol susu dan puting kosong. Ini akan membuatkan anda mudah patah semangat untuk meyusukan bayi anda. Ini yang saya buat dan saya berjaya. 
  • Cuci puting anda setiap kali semasa mandi. Jangan letak sabun di kawasan tersebut semasa anda mandi. Ini kerana puting amat sensitif ketika hamil.
  • Ceritakan niat anda untuk menyusukan bayi anda kepada suami anda. Ini kerana suami adalah tulang belakang dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Ceritakan juga kepada ibubapa anda, ibubapa mertua dan rakan anda untuk mendapat sokongan.
  • Beli keperluan untuk menyusu seperti nursing bra, nipple cream. Ini akan membuatkan anda lebih bersedia untuk menyusukan bayi anda. Saya akan ceritakan mengenai nursing bra dan nipple cream di entry yang lain.
Selepas kelahiran
  • Susukan bayi anda secepat mungkin selepas kelahiran. Hisapan bayi dapat memberi ransangan kepada payudara untuk menghasilkan kolostrum yang merupakan makanan pertama bayi. Kolostrum mengandungi protein, vitamin A dan E. Ia juga penting untuk mengelakkan bayi dari terkena demam kuning (jaundice)
  • Pelajari teknik lekapan dan meyusu yang betul. Jangan malu untuk bertanya kepada jururawat. Belajar juga posisi meyusu secara baring. Ini memudahkan penyusuan ketika waktu malam
Teknik lekapan yang betul

  • Susukan bayi setiap 2 jam. Ini kerana susu ibu mudah dihadam dan akan menyebabkan bayi anda cepat lapar. Jangan mudah mengalah untuk memberi susu formula, air masak dan sebagainya. Susukan bayi anda dengan susu ibu sahaja. Ini juga penting untuk mengelakkan bayi dari mendapat demam kuning. 
  • Banyakkan minum air masak sepanjang dalam pantang. Ada sebahagian yang berpendapat minum air masak dalam kuantiti yang banyak semasa pantang akan menyebabkan perut buncit atau rahim bengkak. Teori tersebut salah sama sekali. Tegaskan pada mereka bahawa anda memerlukan air sebanyak 3 liter dalam sehari untuk memastikan badan anda tidak kekurangan air untuk penghasilan susu. Dengan meminum banyak air dapat mengelakkan anda dari sembelit.

Ini cuma sebahagian dari pengalaman dan pengetahuan yang telah saya aplikasikan. Jika anda melayari internet, banyak lagi tips yang boleh anda aplikasikan. Semoga ianya bermanafaat kepada anda.

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi




Khamis, 13 Februari 2014

SIAPA SAYA

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Dalam melayari bahtera kehidupan, kita tidak akan terlepas dari cabaran dan ujian. hadapilah ia dengan sabar dan yakin ALLAH ada dengan kita. Itu antara kata-kata mak saya yang saya pegang hingga ke saat ini. Ianya merupakan kata-kata semangat dan pendorong kepada saya dalam melayari kehidupan di muka bumi ini. Saya merupakan anak sulung dari lima adik beradik. Jarak yang agak jauh dengan adik kedua menyebabkan saya agak rapat dengan mak.

Saya memulakan persekolahan di Jengka 11, Pahang. Selepas itu kami sekeluarga berpindah ke Muar mengikut abah yg bertukar kerjaya. Sekali lagi kami berpindah. Kali ini destinasi nya adalah Kluang. Alhamdullillah, sampai sekarang kami masih menetap di Kluang. Setelah tamat SPM, saya melanjutkan pelajaran ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA di Pasir Mas Kelantan. Jauh perjalanan, luas pandangan. Itulah azimat yang saya pegang ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Kelantan.

Saya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2009. Bermulalah episod kehidupan saya yang baru apabila permohonan saya untuk menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat minyak dan gas diterima. Selama setahun berada di syarikat tersebut, saya berpindah ke syarikat lain yang masih mengendalikan minyak dan gas iaitu Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd yang berpusat di Pasir Gudang. Skop kerja yang sama membuatkan saya tidak kekok di kelilingi rakan sekerja yang baru. Dan, saya masih setia di MMHE sehingga ke hari ini.

Saya telah mendirikan rumahtangga pada tanggal 01 September 2012 dan dikurniakan seorang puteri yang comel pada 17 Julai 2013. Saya merupakan seorang ibu yang menyusukan puteri saya dengan susu ibu dari hari pertama kelahirannya hingga ke saat ini. Saya akan berkongsi dengan anda tips dan langkah-langkah untuk memberi susu ibu sahaja kepada bayi anda sehingga 2 tahun tanpa susu formula. 

Semoga dengan lahirnya blog ini dapat memberi inspirasi kepada ibu-ibu di luar sana yang bekerja untuk menyusukan bayi hingga 2 tahun dengan jayanya tanpa susu formula.

Salam Sayang.
Nor Atiqah Hamidi

Bersama suami tercinta, Mohd Izzul Afandi


Puteri yang di sayangi, Aimi Eryna binti Mohd Izzul Afandi