Teks : Nor Atiqah Hamidi
Apakah yang dimaksudkan dengan Penyusuan Eksklusif?. Penyusuan eksklusif bermaksud bayi hanya minum susu ibu sahaja tanpa makanan dan minuman lain seperti nestum, air masak, air glukos dan sebagainya. Ubat-ubatan tidak dikira mengganggu penyusuan eksklusif kerana ubat-ubatan diberi dalam dos yang sedikit dan bukan selalu diberi.
Untuk menjayakan penyusuan eksklusif ini, ibu-ibu harus mempunyai azam dan keinginan yang kuat bagi memastikan penghasilan susu terhasil dengan banyaknya. Kerapakan mengepam bila berjauhan dengan bayi dan memberi secara terus bila bayi bersama kita. Walaubagaimanapun, terdapat sebilangan ibu-ibu akan berdepan masalah untuk menjayakan penyusuan eksklusif ini lantaran kurangnya pendedahan. Terutama untuk ibu-ibu yang berkerja. Golongan ini akan memberi bayi susu formula ketika bekerja. Tahukan anda susu ibu boleh diberi ketika ibu-ibu berjauhan dengan bayi?. Ya. Boleh. Malah lagi menyenangkan pengasuh. Itu kata pengasuh anak saya.
Penyusuan eksklusif memberi banyak manfaat kepada bayi. Antaranya
- Susu ibu membekalkan semua zat dan air yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi pada 6 bulan pertama. Jadi, ibu-ibu sudah faham bukan mengapa air masak tidak perlu diberi kepada bayi berumur 6 bulan kebawah?. Susu ibu sudah mengandungi air yang cukup untuk bayi. Tidak perlu air masak sebagai tambahan.
- Kandungan nutrien dalam susu ibu adalam mencukupi untuk pertumbuhan bayi. Selain itu, pemberian susu ibu sahaja tidak menjejaskan pertumbuhan bayi.
- Memastikan penyerapan zat besi yang optimum dari susu ibu. Pengambilan makanan lain boleh mengurangkan penyerapan zat besi kepada bayi.
- Untuk mengelakkan masalah berkaitan penghadaman dan pencernaan bayi. Ini kerana sistem pencernaan dan penghadaman bayi belum matang untuk memproses makanan selain susu ibu.
- Mengelakkan bayi mendapat cirit birit (diarrhea) kerana enzim-enzim penghadaman belum bersedia sepenuhnya.
- Mengelakkan salutan pelindung penyakit terhakis disebabkan pemberian air atau cecair lain selain susu ibu. Ini boleh mendedahkan bayi kepada alahan dan jangkitan.
Ini merupakan sebahagian dari mengapa kita digalakkan menyusukan bayi secara eksklusif selama 6 bulan tanpa makanan dan minuman lain. Percayalah susu ibu cukup untuk bayi. Bukankah susu ibu susu terbaik. Jadi, percayalah pada titisan emas ini agar kita boleh menepis segala cakap-cakap disekeliling. Insyaallah saya akan menulis lagi mengenai penyusuan eksklusif ketika ibu bekerja. Nantikan ya..
Salam Susu Ibu,
Nor Atiqah Hamidi
(Rujukan : Bagaimana Menjayakan Penyusuan Eksklusif - Panduan Lengkap Bagi Ibu dan Wanita Bekerja)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan