Teks : Nor Atiqah Hamidi
Alhamdullillah. Syukur pada Allah atas segala nikmatNya.
Bulan Disember tahun lalu, saya telah selamat melahirkan pertama hari kedua. Baby girl. Boleh geng masak-masak dengan Eryna. Alhamdullillah, proses kelahiran kali ini agak mudah dan ambil masa singkat. Saya lalui fasa contraction di rumah. Sampai sahaja di Hospital Ampang terus ditolak ke Labour Room. Tak lama lepas tu, Hana keluar.
Perjalanan penyusuan saya dan Hana bermula dengan keadaan biasa sahaja. Tetapi saya mula berasa pelik apabila Hana akan menangis setiap kali menyusu. Malah saya akan berasa sakit setiap kali Hana menyusu. Seolah kami masing-masing tidak selesa. Hari ketiga saya mula mengalami masalah nipple luka. Kali ini agak teruk berbanding Eryna.
Dugaan bertambah apabila Hana mengalami Jaundice. Setiap hari bacaannya semakin tinggi. Setiap kali menyusu Hana akan menangis. Dan setiap sesi menyusu akan mengambil masa yang sangat lama. Kadangkala hingga 40 minit. Bila Hana membuang, najis akan berwarna hijau. Saya tahu bila najis baby berwarna hijau maknanya baby tidak mendapat susu secukupnya.
Akhirnya pada hari ke-6 kelahiran Hana, saya sudah stress. Saya tidak cukup rehat, Hana akan sentiasa menangis. Saya bertanya kepada rakan dalam group whatsapp. Salah seorang dari kalangan kami meminta saya untuk periksa lidah Hana untuk kenal pasti sama ada mengalami Tongue Tie atau tidak. Ini kerana berdasarkan cerita saya, itu adalah tanda-tanda baby tidak puas menyusu. Saya ambil gambar dan hantar kepadanya.
Betullah tekaan saya. Hana mengalami Tongue Tie. Jadi saya perlu pump susu dan berikan kepada Hana melalui cawan atau syringe. Untuk masalah tongue tie ini, selalunya Pakar Laktasi akan mengesahkan nya. Seterusnya akan diperiksa sama ada perlu atau tidak pembedahan dilakukan. Saya terus mencari info mengenai Klinik Kanak-kanak di sekitar KL. Ada tetapi ketika itu doktornya sedang bercuti. Saya berbincang dengan suami. Balik Kluang kami akan terus ke JB. Saya kenal seorang Pakar Kanak-Kanak yang telah berjaya membuka klinik beliau sendiri.
Pada hari Ahad 27/12/2015, saya dan suami bertolak ke JB. Kami terus menuju ke Pusat Rawatan Kanak-Kanak Adda berjumpa dengan Doktor Hairin Anissa. Beliau merupakan Pakar Laktasi yang juga Pakar Kanak-Kanak. Beliau sangat menyokong penyusuan susu ibu. Saya kenal beliau ketika dalam Kelab Penysuan Susu Ibu Johor lagi.
Kami sampai lebih kurang jam 10 pagi. Ramai juga orang yang sedang menunggu. Persekitaran klinik sangat cantik dan selesa. Ada ruang bermain untuk kanak-kanak. Malah disediakan juga makanan dan minuman untuk keluarga yang menunggu. Kami masuk setelah dipanggil oleh doktor. Pada mulanya Dr Hairin mengatakan Hana tidak perlu freenotomy. Tetapi bila Hana menyusukan secara terus, dia akan terlepas dan menangis. Akhirnya setelah pemeriksaan dibuat, Dr Hairin membat keputusan untuk membuat minor operation ke atas Hana.
Alhamdullillah. Pembedahan berjalan lancar dan kami menikmati perjalanan penyusuan dengan aman dan selesa. Berat Hana makin bertambah. Sudah banyak 'akal'.
Sekali lagi saya nasihatkan kepada ibu-ibu. Jangan ambil mudah dengan penyusuan. Kita nampak mudah, tetapi tidak senang. Belajarlah. Carilah ilmu. Ajak suami ke kelas penyusuan dan persediaan bersalin. Penyusuan susu ibu memerlukan kita sentiasa menimba ilmu.
Semoga perjalanan penyusuan susu ibu kita semua dipermudahkan oleh Alla SWT.