Isnin, 5 Januari 2015

Impian dan Azam 2015

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi



Alhamdullillah, Syukur pada Allah atas limpah dan rahmatNya.
Kita sudah berada di tahun 2015. Apa azam dan impian yang ingin kita capai untuk tahun baru ini. Sebelum itu, bagaimana dengan impian dan azam kita di tahun lepas. Sudah tercapaikah? Atau hanya tinggal angan-angan. Tidak mengapa. Jadikan tahun ini sebagai tahun untuk kita memenuhi impian dan azam kita. Jangan putus asa. Pandang ke hadapan dan berusahalah.

Sejujurnya saya tidak pernah ada azam di tahun baru. Ini kerana saya sudah selesa dengan keadaan saya sebelum ini. Namun apabila melihat pencapaian saya di tahun-tahun lalu membuatkan saya terfikir apa tujuan Allah hidupkan saya untuk tahun ini. Mana mungkin sekadar ini sahaja. Jadi, di tahun 2015 saya sudah mula nampak apa yang saya mahu. Saya mahu keluar dari keadaan ini dan menjadi orang yang baru.

Azam dan impian saya untuk tahun 2015

  • Membantu lebih ramai ibu-ibu yang ingin menyusukan bayi terutama ibu yang melahirkan anak pertama. Ini kerana ibu muda mudah terpengaruh dengan cakap-cakap orang sekeliling. Apatah lagi di awal kelahiran susu tidak banyak. Ketika itulah ibu akan mula memberi anak susu formula kerana mengganggap susu tidak ada. Pemikiran beginilah yang mahu saya hapuskan. Sebaiknya ibu bersedia sebelum kelahiran lagi. Jangan anggap bila sudah melahirkan anak susu akan memancut keluar dengan banyaknya. Ada proses yang perlu dipelajari. Ada kaedah yang perlu diteliti. Saya akan cuba untuk memberi khidmat ke rumah ibu yang memerlukan. Saya juga mahu menjadi Kaunselor Laktasi yang bertauliah. Doakan saya ye. 
  • Memberi sebanyak mungkin ilmu untuk memulakan perniagaan tanpa modal. Kita dihidangkan dengan pelbagai medium sosial yang percuma seperti Facebook, Blogspot, Wordpress, Instagram dan berbagai lagi yang percuma. Gunakan medium-medium percuma ini untuk menjana pendapatan. Walaupun kita lihat bisnes online berkembang dengan majunya, namun ada sesuatu dalam diri anda yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan. Misalnya anda suka makan kek, jadi anda akan mencari bagaimana untuk membuat kek yang sedap seperti yang anda makan. Dari situ anda akan cuba untuk membuat kek supaya anda boleh makan dan tidak perlu ke kedai. Akhirnya setelah dicuba berkali-kali, kek anda berjaya di hasilkan. Kemudian anda bawa ke tempat kerja dan ada orang berminat untuk membeli. Dari situlah anda boleh menjana pendapatan dengan menjual kek. Mana tahu suatu hari nanti anda mampu membuka kedai kek setaraf Secret Recepi. Amin.
  • Membuka pernigaan untuk barangan penyusuan susu ibu dan baju muslimah. Seperti yang ada tahu saya sudah ada FB pakaian muslimah yang saya jual. Untuk tahun 2015, saya mahu menambah produk saya kepada dress menyusu dan juga barangan penyusuan seperti pam susu. Jadi sambil-sambil anda baca blog saya, anda boleh cuci mata di kedai online saya. Dari situ, saya boleh beri konsultasi untuk anda yang membeli dengan saya.
  • Menambah ilmu mengenai Babywearing (penggendong bayi). Kebelakangan ini saya lihat penggunaan penggendong bayi sangat meluas di Malaysia. Namun penggendong yang digunakan tidak sesuai untuk anak yang dikendong. Mudah-mudahan tahun ini ALLAH kuatkan saya supaya dapat menyebarkan ilmu babywearing kepada semua ibubapa. Saya mahu menegur, tetapi kekuatan itu belum ada. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk berterus terang kepada mereka.
Itulah antara impian dan azam saya untuk tahun 2015. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita menerima. Duit yang banyak, rumah yang besar. Itu semua impian kita, Namun berikan sesuatu kepada masyarakat kerana masyarakat itu lebih memerlukan kita.

Senaraikan azam dan impian anda untuk tahun 2015. Dari situ kita akan cuba untuk capai walaupun pelbagai duri dan ranjau terpaksa kita tempuhi. Semoga 2015 memberi sinar harapan kepada kita semua. InsyaAllah.

Salam 2015,
Nor Atiqah Hamidi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan