Teks : Nor Atiqah Hamidi
Ketika kita sibuk menyediakan persiapan menyambut kelahiran permata hati, ada ibu-ibu bersedia dalam penyusuan?. Bersedia dari segi mental dan fizikal. Bersedia dengan sokongan suami yang kuat. Sebenarnya bilakan masa yang sesuai untuk ibu-ibu bersiap sedia dalam penyusuan ini. Jawapannya adalah SEKARANG. Ya sekarang. Tidak perlu menangguh sehingga esok. Tidak perlu menunggu hingga masa bayi dilahirkan. Ianya perlu dimulakan sekarang juga. Antara perkara-perkara yang diperlukan untuk menyusukan bayi adalah
1. Payudara.
- Setiap wanita dilahirkan dengan payudara. Fungsi utama payudara adalah menghasilkan susu untuk bayi. Wanita yang melahirkan akan mempunyai susu yang cukup untuk bayi. Tetapi ianya tidaklah semudah yang disangka kerana payudara setiap wanita itu berbeza. Saiz, bentuk puting, saiz puting mahupun warna bukanlah aspek penting dalam penyusuan susu ibu. Bayi seharusnya menyusu di aerola, bukan di puting. Jadi jika ibu-ibu mengalami masalah seperti puting pendek, puting tenggelam atau tiada puting sekalipun ianya tidak memberi masalah kepada penyusuan susu ibu. Masalah ini boleh diatasi selagi ibu-ibu mempunyai payudara.
2. Azam dan Keinginan
- Jikalau kita sudah mempunyai azam pastinya kita akan cuba memenuhi azam tersebut dengan apa cara sekalipun. Betul tidak ibu-ibu?. Jadi azamkan dalam diri ibu-ibu untuk memberi susu badan sejurus kelahiran bayi lagi. Azam yang disertakan dengan keinginan akan mendorong seseorang untuk mecapai apa yang dihajati. Segala cabaran dan rintangan pasti dapat ditempuhi.
3. Keyakinan diri
- Jika persekitaran ibu-ibu bukan persekitaran yang menyokong penyusuan susu, ibu-ibu harus menanam keyakinan diri yang jitu untuk menjayakan penyusuan susu ibu. Mungkin kita pernah gagal semasa anak pertama. Mungkin juga kita melihat rakan kita hanya menyusukan anak selama 3 bulan dan mencampurkan dengan susu formula. Malah dalam keluarga kita juga tiada yang berjaya dalam penyusuan susu ibu. Ini semua adalah cabaran yang ibu-ibu harus tempuhi. Sebab itulah keyakinan diri amat penting untuk dipupuk sebelum kelahiran bayi lagi agar ibu-ibu bersedia menghadapi cabaran. Jikalau ibu-ibu tidak pernah mempunyai pengalaman gagal dalam penyusuan, tidak perlu fikirkan kegagalan kerana ibu-ibu tidak pernah gagal. Sematkan dalam diri. Aku yakin boleh..
4. Ilmu
- Ini adalah salah satu aspek terpenting dalam penyusuan susu ibu. Sudah saya tegaskan dalam entry sebelum ini mengenai betapa pentingnya ilmu penyusuan susu ibu. Dengan kepesatan teknologi sekarang, ilmu boleh diperolehi dengan hujung jari sahaja. Malah ibu-ibu boleh bertanya soalan di Facebook tanpa ragu-ragu kerana akan ada ibu-ibu lain yang sudi menjawab. Jadi, ilmu itu luas. Ianya tidak datang secara bergolek. Perlu dicari dan digali sebelum dapat dituai hasilnya. Jangan jemu untuk mencari ilmu. Adalah lebih baik sekiranya ibu-ibu berjumpa dan bertanya dengan mereka yang berjaya menyusukan anak. Kebanyakkan mereka yang gagal dalam penyusuan susu ibu bukanlah kerana ketiadaan susu tetapi kerana ketiadaan ilmu.
- Carilah kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dikalangan mereka yang berjaya menyusukan anak. Contoh di Facebook adalah Kumpulan Ibu-Ibu Menyusukan (KIM). Kumpulan ini bergerak secara dalam talian dan amat menyokong penyusuan susu ibu. Di dalah kumpulan ini juga disediakan beberapa dokumen untuk diteliti dan difahami oleh ibu-ibu. Tetapi sokongan yang paling utama adalah suami kita. Kerana jika suami menyokong, kita sebagai ibu akan berasa dihargai dan disayangi. Bagi membolehkan suami menyokong, kita mestilah memberitahu sebanyak mungkin mengenai penyusuan susu ibu agar suami bersedia untuk menangkis sebarang soalan dan keraguan pihak lain.
Melalui gambaran diatas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk seseorang ibu berjaya dalam penyusuan melibatkan banyak pihak. Namun, ibulah yang seharusnya memberi tunjuk ajar dan pengetahuan kepada orang disekeliling agar mereka memahami penyusuan susu ibu. Jangan berharap mereka akan memahami jika kita tidak cuba memberi kefahaman kepada mereka..
Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi