Rabu, 5 Mac 2014

Kelebihan Susu Ibu

Assalamualaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi


Pernahkah anda terfikir apa kelebihan susu ibu berbanding susu formula.
Apakah yang menyebabkan susu ibu lebih berkhasiat dari susu formula.
Mengapa susu ibu dikatakan lebih memberi khasiat dari susu formula.

Saya pasti difikiran ibu-ibu akan terlintas soalan-soalan diatas. Banyak kelebihan yang diperoleh oleh bayi yang disusukan dengan susu ibu. Malah kelebihan ini juga diperoleh oleh ibu-ibu yang menyusukan. Mari kita sama-sama lihat apa kehebatan susu ibu ini.

Faedah kepada bayi

  • Susu ibu berubah mengikut keperluan bayi semasa membesar. Ini kerana penghasilan susu akan berubah mengikut umur bayi. Dihari pertama hingga ketiga kelahiran hanya kolostrum yang terhasil. Walaupun sedikit, tetapi mempunyai karbohidrat, protein dan antibodi serta bertindak sebagai imun yang akan melindungi bayi dari jangkitan penyakit. Susu matang akan mula keluar di hari ketiga atau keempat selepas kelahiran. Ketika ini susu akan melimpah ruah hinggakan ibu-ibu akan mengalami bengkak susu. 
  • Susu ibu menggalakkan penghadaman dan penyerapan nutrien dengan lebih baik. Ini kerana terdapat beberapa bahan biologi yang menyebabkan bayi dapat menyerap nutrien dengan berkesan antaranya enzim penghadam lemak yang membantu penghadaman, protein yang membantu penyerapan zat besi dan juga laktosa yang meningkatkan penyerapan kalsium, magnesium, fosforus dan mineral yang lain
  • Kajian menunjukkan bayi yang disusukan secara ekslusif selama 6 bulan kurang dijangkiti penyakit dalam tempoh 12 bulan pertama. Ini menunjukkan susu ibu mengandungi nutrien dan bahan-bahan yang melindungi bayi dari penyakit berjangkit seperti cirit-birit, selsema, bronkoliotis dan jangkitan telinga tengah
  • Susu ibu mengandungi asid lemak seperti asid alfa-linolenik (ALA) dan asid limoleik (LA). Kedua-dua asid ini diperlukan untuk menghasilkan asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid arakidonik (AA) yang penting untuk pembesaran dan pertumbuhan bayi, terutamanya untuk pertumbuhan otak dan peransangan visual yang berkualiti. 
  • Susu ibu akan mengurangkan kemungkinan mengalami elergi. Ini kerana simptom-simptom alaergi berpunca dari tindakbalas imun bayi terhadap susu formula. Bayi yang menyusu susu ibu akan kurang mengalami simptom alergi seperti kolik, muntah, cirit-birit atau najis berdarah, malresapan, ekzema, rintis alergik dan asma bronkiol.
  • Susu ibu menjadi pengikat kasih antara ibu dan bayi. Ini kerana bayi perlu mendengar degupan jantung ibu, merasai kehangatan tubuh ibu dan berada rapat dengan ibu. Kesemua ini sama pentingnya dengan keperluan bayi terhadap makanan.
Faedah kepada Ibu
  • Ibu akan mudah untuk kembali ke bentuk asal badan sebelum kehamilan. Ini kerana penyusuan susu ibu akan membantu membakar lemak yang tersimpan. 
  • Penyusuan susu ibu akan merembeskan hormon-hormon yang bertindak ke atas uterus (rahim), menyebabkan rahim mengecut dengan lebih cepat. Pengecutan ini dapat menghalang pendarahan selepas bersalin.
  • Penyusuan susu ibu juga dapat melindungi ibu dari penyakit barah payudara dan barah ovari serta mengurangkan risiko mendapat osteoporosis dan penyakit jantung.
  • Penyusuan susu ibu terbukti melambatkan kedatangan haid dan ini boleh membantu ibu menjarakkan kehamilan secara semulajadi.
Banyak faedah yang diperoleh oleh bayi yang disusukan dengan susu ibu. Jadi, kepada ibu-ibu yang menanti kelahiran anakanda tersayang siapkanlah diri anda dengan pengetahuan sebanyak banyaknya mengenai penyusuan susu ibu. Saya doakan agar anda berjaya dalam menjayakan penyusuan susu ibu..

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan