Teks : Nor Atiqah Hamidi
Dalam menjayakan penyusuan susu ibu, peranan bapa sebagai pendorong amat diperlukan. Terutama untuk ibu-ibu yang menyusukan kali pertama. Ini kerana ibu ini tidak mempunyai pengalaman dalam penyusuan susu ibu. Jadi kepada bapa-bapa diluar sana, sokonglah isteri anda supaya anak anda mendapat khasiat yang tidak berbelah bahagi. Berikan galakan dan semangat kepada mereka andai mereka sudah kehilangan semangat untuk menyusukan anak anda.
Kepada bakal ibu-ibu diluar sana, ceritakan kepada suami anda mengapa anda mahu menyusukan bayi anda. Ceritakan juga mengenai khasiat dan kelebihan susu ibu berbanding susu formula. Terangkan juga kepada suami mengenai gadjet penyusuan. Pada saya bahagian ini amat penting kerana gadjet penyusuan agak mahal harganya. Berikan sebab-sebab yang munasabah mengapa anda mahu membeli gadjet penyusuan seperti pam, beg penyimpanan susu dan lain-lain.
Suami saya pada mulanya agak kurang menyokong penyusuan susu ibu. Ini kerana kami adalah anak sulung didalam keluarga. Tetapi saya tidak mengalah. Internetlah jawapan kepada segala persoalan saya. Saya akan membaca blog-blog penyusuan seperti Sarakids by Farah Farhan, Harlinda Halim, Duniasusuibu.com dan juga forum terkenal iaitu Susuibu.my. Setiap hari saya akan membaca dialam maya ini. Sekiranya saya terjumpa maklumat yang penting saya akan catatkan dalam buku catatan saya. Setelah itu, saya akan bercerita mengenai setiap maklumat yang saya perolehi dengan suami saya. Apa sahaja maklumat baru saya akan ceritakan dengan suami saya. Ini bagi memudahkan suami memahami mengenai penyusuan susu ibu. Jadi saya menyeru kepada ibu-ibu agar berceritalah dengan suami anda.
Ketika saya mahu membeli barang penyusuan, saya terangkan fungsi setiap barang tersebut kepada suami. Seperti beg untuk menyimpan susu, plastik menyimpan susu, botol susu dan lain-lain. Ini untuk memudahkan suami memahami konsep penyusuan susu ibu. Untuk pengetahuan ibu-ibu, suami adalah orang yang terdekat untuk mengajar bayi menyusu susu badan menggunakan botol. Ini bagi melatih bayi menyusu menggunakan botol ketika ibu bekerja. Jika ibu sendiri yang beri, bayi akan menolak menyusu menggunakan botol kerana bayi bau badan ibunya.
Suami juga perlu bersedia dengan 'cakap-cakap' orang sekeliling yang akan bertanya mengenai susu ibu. Antara soalan popular yang sering diajukan kepada suami saya adalah 'Banyak lagi ke susu Iqa?'. Dan suami saya akan menjawab 'Alhamdullillah. Cukup untuk Eryna'. Dan saya akan tersenyum mendengar jawapan suami saya. Saya tahu suami saya menyokong penyusuan susu ibu ini secara diam.
Dibawah ini adalah beberapa panduan untuk bapa. Ibu-ibu boleh catitkan dan bagi kepada suami.
BEBERAPA PANDUAN UNTUK BAPA
Bayi yang menyusu susu ibu, biasanya kurang mengalami masalah seperti berikut:-
- Alahan
- sakit telinga (otitis media)
- kerap sakit teruk dan dimasukkan ke hospital
- cirit birit dan sembelit
- kerosakan gigi.
Ini bererti anda:
- tidak perlu kerap berjumpa doktor
- menjimatkan wang perbelanjaan keluarga
- mempunyai masa yang terluang untuk diri sendiri dan keluarga
- adalah lebih mudah dan tenang untuk menjaga bayi yang sihat
Penyusuan susu ibu adalah yang terbaik untuk anak anda kerana:
- Susu ibu mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi
- Susu ibu berubah mengikut umur dan keperluan bayi.
- Susu ibu lebih mudah dihadam.
- Najis bayi menyusu susu ibu lebih lembut dan kurang berbau.
- Susu ibu melindungi bayi daripada bakteria dan jangkitan lain.
Suami, Imam, Rakan karib saya.. Juga ayahanda kepada Aimi Eryna.. Terima kasih untuk segala sokongan dan semangat yang diberikan.. |
Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan