Teks : Nor Atiqah Hamidi
Dalam melayari bahtera kehidupan, kita tidak akan terlepas dari cabaran dan ujian. hadapilah ia dengan sabar dan yakin ALLAH ada dengan kita. Itu antara kata-kata mak saya yang saya pegang hingga ke saat ini. Ianya merupakan kata-kata semangat dan pendorong kepada saya dalam melayari kehidupan di muka bumi ini. Saya merupakan anak sulung dari lima adik beradik. Jarak yang agak jauh dengan adik kedua menyebabkan saya agak rapat dengan mak.
Saya memulakan persekolahan di Jengka 11, Pahang. Selepas itu kami sekeluarga berpindah ke Muar mengikut abah yg bertukar kerjaya. Sekali lagi kami berpindah. Kali ini destinasi nya adalah Kluang. Alhamdullillah, sampai sekarang kami masih menetap di Kluang. Setelah tamat SPM, saya melanjutkan pelajaran ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA di Pasir Mas Kelantan. Jauh perjalanan, luas pandangan. Itulah azimat yang saya pegang ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Kelantan.
Saya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2009. Bermulalah episod kehidupan saya yang baru apabila permohonan saya untuk menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat minyak dan gas diterima. Selama setahun berada di syarikat tersebut, saya berpindah ke syarikat lain yang masih mengendalikan minyak dan gas iaitu Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd yang berpusat di Pasir Gudang. Skop kerja yang sama membuatkan saya tidak kekok di kelilingi rakan sekerja yang baru. Dan, saya masih setia di MMHE sehingga ke hari ini.
Saya telah mendirikan rumahtangga pada tanggal 01 September 2012 dan dikurniakan seorang puteri yang comel pada 17 Julai 2013. Saya merupakan seorang ibu yang menyusukan puteri saya dengan susu ibu dari hari pertama kelahirannya hingga ke saat ini. Saya akan berkongsi dengan anda tips dan langkah-langkah untuk memberi susu ibu sahaja kepada bayi anda sehingga 2 tahun tanpa susu formula.
Semoga dengan lahirnya blog ini dapat memberi inspirasi kepada ibu-ibu di luar sana yang bekerja untuk menyusukan bayi hingga 2 tahun dengan jayanya tanpa susu formula.
Salam Sayang.
Nor Atiqah Hamidi
Bersama suami tercinta, Mohd Izzul Afandi
Puteri yang di sayangi, Aimi Eryna binti Mohd Izzul Afandi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan