Teks : Nor Atiqah Hamidi
Pernahkah anda terfikir bagaimana payudara menghasilkan susu. Sebenarnya, ketika fasa kehamilan lagi payudara telah bersiap untuk menghasilkan susu. Sebab itulah ketika hamil payudara akan menjadi lebih sensitif. Maka, tidak hairanlah jika susu mula kelihatan ketika di akhir kehamilan.
Payudara mempunyai sistemnya yang tersendiri. Mari fahami bahagian dalam payudara yang mempunyai tugas-tugas yang berlainan dalam penghasilan susu badan.
- Alveoli. Tempat di mana susu badan dihasilkan. Alveoli merupakan kelompok-kelompok kantung kecil seakan-akan buah anggur di dalam payudara anda. Dikelilingi oleh otot-otot kecil yang menekannya untuk mengeluarkan susu masuk ke dalam duktul.
- Duktul. Duktul ialah salur-salur kecil yang menyalurkan susu daripada alveoli ke dalam duktus susu utama.
- Duktus susu. Ini adalah jaringan salur-salur kecil yang membawa susu daripada duktul dan alveoli terus kepada bayi. Bayangkan duktus susu anda sebagai penyedut-penyedut minuman kecil yang kesemua hujungnya terletak di puting anda dan menyalurkan susu ke dalam mulut bayi. Duktus ini membesar dan jumlahnya bertambah semasa anda hamil. Anda mungkin mempunyai kira-kira Sembilan duktus dalam setiap payudara menjelang masa anda mula menyusukan.
Anatomi bahagian payudara
Bagi membolehkan bayi menikmati susu badan, ianya akan dilepaskan daripada alveoli yang merupakan tempat susu dihasilkan. Proses ini dikenali sebagai limpahan (letdown). Apabila bayi mula menghisap, sensasi pada puting akan menyebabkan sebahagian daripada kelenjar pituitari membebaskan hormon oksitosin ke dalam aliran darah anda. Sesudah oksitosin sampai ke payu dara, ia menyebabkan otot-otot kecil di sekeliling alveoli yang dipenuhi dengan susu untuk menguncup dan mencengkam lantas membebaskan susu. Susu akan mengalir sepanjang duktus yang terletak di sebalik areola. Apabila bayi anda minum, dia menekan susu daripada duktus masuk ke dalam mulutnya. Tatkala aliran susu meningkat semasa limpahan berlaku, anda akan merasa sedikit sakit seperti mencucuk-cucuk pada payudara anda. Ketika ini susu akan melimpah keluar dari payudara anda.
Masyaallah. Indahnya ciptaan Allah. Payudara diciptakan bersama hormon agar susu boleh dihasilkan dengan banyaknya sesuai dengan keperluan dan kehendak bayi. Jadi, teruslah menyusui bayi anda hingga 2 tahun tanpa jemu. Anggaplah segala cabaran dan dugaan sebagai ujian untuk kita memberikan makanan semulajadi yang terbaik untuk anak kita. Selamat berjaya..
Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan