Assalamualaikum wbt..
Teks : Nor Atiqah Hamidi
Alhamdullillah. Syukur pada ALLAH atas kurniaanya. Hari ini puteri saya, Aimi Eryna berusia 7 bulan 3 hari. Masih minum susu ibu. Masih manja dengan ibu dan ayah. Hari ini saya akan berkongsi pengalaman saya menyusu Eryna secara ekslusif hingga ke hari ini. Semga dapat menjadi pembangkit semangat ibu-ibu semua.
Saya bersalin di Hospital Sultan Ismail, JB secara normal. Sejurus selepas selesai urusan didalam dewan bersalin, Eryna diberi kepada saya untuk disusukan. Saya letak didada dan ajaibnya dia pandai mencari puting dan mula menghisap. Saya masih kekok memegang dan menyusui Eryna. Saya bertanya kepada jururawat yang bertugas adakah betul lekapan Eryna kerana saya merasa sakit dibahagian puting. Jururawat tersebut membetulkan posisi menyusu dan mengajar saya menyusu secara baring.
Keesokkan harinya, saya dibenarkan pulang dan saya terus pulang ke rumah ibu di Kluang. Ketika itu, puting sebelah kiri amatlah sakit. Hinggakan saya tidak mahu memberi Eryna hisap di payudara sebelah kiri. Saya melayari internet dan bermacam petua saya jumpa. Antaranya letak air susu sendiri lepas menyusukan. Tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih. Saya tidak mahu. Saya mahu lekas sembuh. Lalu saya melayari web mybreastpumpshop.com kerana pemiliknya iaitu Kak Naza ada menjual krim untuk puting luka. Tanpa berlengah saya terus membeli Medela Lanolin Tendercare setelah membaca mengenai krim tesebut. Alhamdullillah, puting saya yang luka itu sembuh sehari selepas saya menggunakkannya.
Ketika dalam pantang lagi saya sudah mula mengepam. Hasilnya tidak banyak untuk sekali sesi mengepam. Kadangkala 2oz, 3oz malah pernah 1oz. Tetapi saya tidak patah semangat. Ini kerana ketika ini bayi menyusu secara terus dengan ibu. Jadi apabila di perah susu tidak banyak. Saya mempelajari teknik tandem nursing iaitu menyusukan secara serentak. Dalam kes saya, saya mengepam disebelah payudara manakala sebelah payudara Eryna hisap. Hasilnya meningkat setiap kali saya pam. Ini salah satu cara untuk meningkatkan susu yang berjaya saya buat. Ibu-ibu juga boleh buat.
Saya mula mengajar Eryna minum EBM iaitu susu perahan yang dibekukan dalam peti ais ketika dia berumur sebulan. Alhamdullillah Eryna boleh terima susu perahan dan suami saya yang susukan dia. Jika ibu yang susukan, bayi akan menolak kerana bayi bau badan ibu. Ketika ini saya sudah menyiapkan keperluan penyusuan untuk dibawa ke tempat kerja seperti cooler bag, stroge plastic, stroge bottles dan warmer untuk pengasuh Eryna.
Setelah 60 hari bercuti, saya masuk ke pejabat dengan membawa pam susu. Agak pelik mulanya kerana semua orang bertanya saya buat apa. Saya tersenyum dan menjawab 'saya pam susu'. Soalan yang kerap ditanya adalah 'banyak lagi susu awk?'. Alhamdullillah susu saya masih cukup untuk Eryna. Walaupun tidak makan makanan lain dan hanya bergantung pada susu ibu, Eryna sihat dan membesar seperti bayi lain. Saya tidak perlu risau dengan masalah seperti sembelit yang kerap berlaku selepas bayi makan makanan tambahan. Walaupun bayi perlu diperkenalkan dengan makanan selepas 6 bulan, saya berpegang teguh kepada saranan Al-Quran untuk menyusukan sehingga 2 tahun penuh tanpa makanan lain.
Saya masih mengepam hingga ke hari ini. Ini untuk memastikan susu saya sentiasa cukup untuk Eryna. Jika saya terlepas satu sesi mengepam, saya akan mengepam dirumah pada malam atau saya akan tandem nursing dengan Eryna. Alhamdullillah sokongan suami merupakan kekuatan saya dalam penyusuan susu ibu. Terima kasih suamiku untuk sokongan yang tidak berbelah bahagi. Untuk Eryna, ibu akan terus memberi susu ibu tanpa makanan lain hingga 2 tahun.
Perjalanan penyusuan saya masih jauh. Masih banyak lagi cabarannya. Insyaallah dengan tekad dan semangat saya akan berusaha untuk menjayakan penyusuan 2 tahun tanpa makanan lain untuk Eryna. Sama-samalah kita memartabatkan penyusuan susu ibu.
Salam sayang,
Nor Atiqah Hamidi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan