Ahad, 23 Februari 2014

Percutian ke Bali, Indonesia

Assalamulaikum wbt..

Teks : Nor Atiqah Hamidi

Bali. Satu tempat pelancongan yang menarik perhatian masyarakat dunia. Majoriti penduduk beragama Hindu. Entry kali ini saya akan menceritakan pengalaman perjalanan saya dan suami ke Bali pada tahun 2012.

Kami pergi ke Bali selama 4 hari 3 malam. Menurut suami, belum puas berjalan disana kerana banyak tempat tidak sempat dilawati. Insayaallah ada rezeki mungkin akan kembali. Kami pergi dengan menggunakan pesawat Jetstar di Lapangan Terbang Changi, Singapura. Ini kerana rumah kami di Johor dan akan memakan masa untuk kami pergi ke KLIA. Sebelum bertolak saya sudah selesaikan urusan penginapan dan pengangkutan dengan pihak hotel. Kami memilih untuk menyewa kereta kerana ingin bergerak sendiri.

Dihari pertama kami hanya berjalan sekitar Pantai Kuta sambil melihat matahari terbenam. Suasana agak menarik. Untuk makluman anda, waktu Bali sama dengan waktu Malaysia. Cuma waktu solat agak awal kerana matahari terbit jam 4 pagi. Jam 6 sudah masuk syuruk disana. Amat penting untuk mengetahui masuk waktu solat kerana masjid agak sukar dicari di Bali.


Matahari terbenam
lokasi : Pantai Kuta

Hari kedua bermula apabila kami mengambil keputusan untuk pergi ke Gunung Kintamani. Salah satu tempat pelancongan yang menarik di Bali. Perjalanan memakan masa yang agak lama kerana lokasi yang agak jauh dari bandar Kuta. Gunung Kintamani ini adalah gunung berapi yang sudah lama mati. Tetapi saya agak kurang senang dengan penjual-penjual disana. Mereka akan mengikut ke mana sahaja anda pergi bahkan ada yang menahan di pintu kereta. Pesan saya, buat tidak tahu sahaja dengan mereka. Cuaca di Gunung Kintamani ini panas tapi hawa udaranya sejuk. 

Pemandangan Gunung Kintamani
Lokasi : Gunung Kintamani

Selepas makan tengahari di salah sebuah restoran, kami mula berjalan pulang. Dalam perjalanan tersebut kami lalu di satu lagi tempat pelancongan yang menarik iaitu Ubud. Kawasan ini terkenal dengan tanaman padi bukit. Pemandangan yang sangat menarik dan jarang diperoleh di Malaysia. Malanganya kami tidak singgah kerana terlalu banyak kenderaan di tepi-tepi jalan. Pemandangan tersebut terakam di ingatan sahaja. Seterusnya kami pergi ke Pasar Sukowati. Niat dihati ingin membeli cenderamata untuk kenalan dan keluarga. Ketika kami sampai kebanyakkan kedai sudah mahu tutup. Jadi kami singgah di satu kedai sahaja.

Berbagai t-shirt dijual
Lokasi : Pasar Sukowati

Hari ketiga kami bersarapan secara bufet di tepi kolam. Suasananya amat menenangkan. Menurut pihak hotel, ianya akan dilakukan sekiranya orang yang menginap melebihi 75%. Makanan bercirikan Bali. Sedap dan lazat. Untuk hari ketiga ini kami mengambil keputusan untuk menyewa motosikal memandangkan lokasi yang ingin dilawati sekitar Kuta sahaja. Untuk pengetahuan anda, masalah kesesakan lalu lintas amat teruk diBali. Jalan raya kecil tetapi banyak kenderaan. Sebab itulah kami menyewa motorsikal. Lokasi kali ini adalah Pura Luhur Tanah Lot. Kawasan ini merupakan kuil tetapi terletak di tepi pantai. Ramai pelancong di sini. Kedai-kedai menjual cenderamata juga banyak. Kami sempat berbual dengan seorang penduduk tempatan. Menurutnya, ketika bulan 3 masyaraat Hindu akan datang ke kuil ini selama seminggu untuk beribadat. Tempat ini merupakan kawasan suci mereka.

Kuil di atas batu. Jika air surut, kita boleh pergi ke sebelah sana.
Lokasi : Tanah Lot

Pada sebelah petangnya kami pergi ke Pantai Jimbaran untuk makan malam. Malam sebelumnya kami hanya makan di hotel kerana makanan halal agak sukar diperoleh. Untuk kali ini kami memilih untuk makan makanan laut. Ianya Halal. Lokasi agak jauh dari Kuta. Jadi kami bertolak awal kerana ingin menikmati keindahan matahari terbenam. Pantai Jimbaran ini terkenal dengan kedai makan yang mengadap pantai. Amat menarik sekali.
\
Saya dan suami menunggu matahari terbenam
Lokasi : Pantai Jimbaran

Pada saya Bali adalah tempat menarik untuk dilawati. Tempat pelancongan dan tempat membeli belah sama banyak. Saya lebih tertarik dengan tempat pelancongannya. Semuanya dijaga dengan rapi dan mendapat sambutan. Pesan saya, jangan ikut orang tempatan sekiranya dia mengajak anda ke suatu tempat. Saya dan suami terkena apabila dia menarik lengan suami untuk ke kedai nya. Sampai dikedai, kami dipaksa untuk membeli baju tiruan dengan harga yang sama dibutik. Amat tidak lojik. Lagi satu, sebolehnya bawalah makanan dari Malaysia seperti Maggi, Sup segera atau apa-apa yang mudah kerana kedai makan halal disekitar Kuta agak sukar diperoleh. Sebolehnya, buat kajian sebelum anda ke Bali.

Semoga perkongsian saya ini menjadi panduan kepada anda yang ingin bercuti ke Bali. 

Salam Sayang,
Nor Atiqah Hamidi








Tiada ulasan:

Catat Ulasan